Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bercakap kepada media selepas gotong-royong membersihkan kawasan perumahan terjejas kebakaran di Rumah Panjang Bukit Kiara, TTDI, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 05 JANUARI 2022.

PETALING JAYA – Keputusan kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk mencalonkan semula Datuk Hasni Mohamad sebagai Menteri Besar Johor adalah satu tindakan paling tepat.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias langkah itu bijak bagi memastikan BN mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

“Keputusan yang dibuat oleh BN pada saya adalah merupakan keputusan yang tepat dan ini pastinya memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada rakyat Johor untuk terus berikan kepercayaan kepada BN bagi menguruskan kerajaan negeri selepas PRN nanti.

“Hasni merupakan MB Johor dan beliau telah menjalankan tugas sebagai ketua negeri dengan begitu baik dalam soal pembangunan, ekonomi dan masyarakat.

“Ini termasuk soal urusan yang berkaitan dengan pembangunan negeri termasuk kesejahteraan rakyat negeri Johor,” katanya kepada media selepas hadir program gotong-royong anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP)  di Rumah Panjang Bukit Kiara, hari ini.

Artikel berkaitan:

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Majlis Pelancaran Jentera BN di Pusat Operasi Zon Barat mengumumkan Hasni akan diangkat sekali lagi sebagai Menteri Besar Johor sekiranya BN menang di PRN negeri itu.

Dalam pada itu, Jalaluddin menjangkakan BN tidak akan berdepan kesukaran sempena PRN kali ini kerana berpendapat rakyat Johor telah menerima kembali BN.

“Saya jangkakan PRN ini akan berlaku seawal Mac, saya boleh katakan itu tidak menjadi masalah kerana keadaan bilapun berlaku PRN saya rasa rakyat Johor telah membuat keputusan kerajaan dan parti mana yang bakal diundi bagi menguruskan kerajan negeri.

“Saya yakin kerajaan BN ketika ini sama ada di peringkat nasional ataupun negeri Johor telah mendapat keyakinan kembali kepada BN untuk beri mandat secara total kepada BN untuk mengetuai kerajaan Johor,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN:

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh penting seperti hari penamaan awal, mengundi awal dan mengundi biasa bagi PRN Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak pada penghujung Januari lalu berkata mesyuarat akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh itu antara lain membincangkan tarikh bagi writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi mendepani PRN berkenaan. – MalaysiaGazette