Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad bercakap dalam satu sidang media selepas menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai pembubaran DUN Johor bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat UMNO Negeri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Mandat baharu daripada rakyat amat diperlukan melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk memastikan Johor terus maju dan dinamik seperti yang pernah dilalui negeri itu sebelum ini.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamed berkata, negeri itu tidak boleh bergerak atas ihsan pembangkang semata-mata berikutan bilangan kerusi parti Kerajaan dan Pembangkang yang dibezakan oleh majoriti satu kerusi sahaja.

“Saya berangapan bahawa Kerajaan yang ada perlu terus berusaha menjadikan negeri Johor ini seperti mana yang pernah dilalui. Sebuah negeri yang dinamik, pesat pembangunannya, sebuah negeri yang rancak program-program untuk kepentingan rakyat yang perlu diteruskan

“Tetapi memandangkan kedudukan kerajaan yang boleh dikatakan bergerak di atas ihsan pembangkang, saya fikir tidak wajar sama sekali berlaku di negeri Johor,” tegas beliau.

Hasni memberi contoh mengenai kejadian yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini yang terpaksa bergantung ihsan kepada undi ADUN Pembangkang.

Kata Hasni, kenyataan parti pembangkang bahawa mereka komited untuk menentukan kestabilan hanya sebagai janji manis.

Artikel berkaitan:

“Keputusan melaksanakan PRN ini dibuat kerana saya merasakan kerajaan johor ketika ini hanya bergerak atas ihsan pembangkang.

“Contohnya ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, ADUN pembangkang bertegas meminta untuk mereka dilibatkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah walaupun perkara itu dalam bidang kuasa Pejabat Perdana Menteri.

“Kerana mereka (PH) bertegas maka undian dibuat menyaksikan kedudukan seri 27 menyokong dan 27 membangkang, akhirnya Speaker DUN daripada PH menyokong kerajaan, itu yang saya cakap atas ihsan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat UMNO Johor, di sini selepas kembali dari Istana Bukit Serene.

Menurut Husni, dengan hanya satu majoriti tidak ada sesiapa boleh mempertikaikan bahawa kerajaan negeri Johor berada dalam keadaan yang amat tidak stabil.

Tegas beliau, Johor tidak sepatutnya berada dalam kedudukan seperti itu jika ingin terus melaksanakan program-program untuk kepentingan dan masa depan rakyat dan negeri Johor.

“Saya perlu mendapatkan semula mandat daripada rakyat Johor, bagaimana kerajaan yang kuat dapat membantu negeri dan rakyat Johor untuk lebih maju dan berjaya berdasarkan strategik dan potensi negeri johor

“Maka PRN negeri ini sebagai usaha untuk mendpatkan semula mandat daripada rakyat,” katanya.

Husni berkata, beliau mahu membawa Johor lebih maju daripada pembangunan yang dinikmati negeri itu pada masa ini.

Mandat baharu yang akan diberikan dalam PRN Johor  membolehkan kerajaan negeri yang diterajuinya nanti menyusun semula program pembangunan negeri.- MalaysiaGazette.