Norlela.

GEORGE TOWN – Kemasukan pesakit Covid-19 tahap kritikal ke hospital di negeri ini tidak ramai walaupun Pulau Pinang dilapor mencatatkan tiga angka kes setiap hari.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, hanya tiga pesakit Covid-19 ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat semalam.

“Memang jumlah jangkitan Covid-19 di negeri ini meningkat sejak akhir-akhir ini namun ia membabitkan tahap satu dan dua saja berikutan ramai populasi sudah pun divaksinasi.

“Manakala mereka yang dilaporkan kritikal itu terdiri daripada golongan yang tidak menerima vaksin.

“Bagaimanapun, setakat ini hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Pulau Pinang berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Norlela (kiri) ketika meninjau pemberian vaksin kepada kanak-kanak di PPV Hospital Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama pemberian vaksin bagi kanak-kanak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pemberian vaksin kepada kanak-kanak, Norlela berkata, pemberian vaksin kepada golongan itu merupakan salah satu cara melindungi anak-anak kecil daripada jangkitan Covid-19 tambahan pula Kluster pendidikan kian meningkat ketika ini.

Kata beliau, pihaknya turut mencadangkan PPV yang terlibat dalam vaksinasi kanak-kanak menyediakan satu talian bagi membolehkan ibu bapa menghubungi pihak terbabit sekiranya ada sebarang kesan terhadap anak mereka yang menerima suntikan vaksin.

“Perkara ini perlu bagi kita mendapatkan data dan fakta yang tepat sekiranya tular perkara negatif membabitkan isu vaksin terhadap kanak-kanak.

“Selain itu, kita juga telah lakukan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk memberi vaksin di sekolah kepada murid bukan komorbit,” tegas Norlela.

Dalam perkembangan lain, Norlela memberitahu PKRC Jawi masih beroperasi namun tidak boleh menampung jumlah pesakit yang banyak.

“Ikutkan kapasiti 1,000 pesakit boleh ditempatkan di situ namun atas masalah bekalan kuasa elektrik menyebakan jumlah pesakit terpaksa dikurangkan.

“Namun sekiranya kes kembali meningkat kita mempunyai dua lagi PKRC sokongan iaitu Kompleks Masyarakat Penyayang dan Pulaza untuk menampung jumlah pesakit,” kata Norlela.

Untuk rekod, Pulau Pinang semalam mencatatkan 542 kes Covid-19. – MalaysiaGazette