Gambar hiasan

KES Covid-19 di Malaysia semakin hari semakin meningkat. Semalam negara kita telah mencatat 11,034 kes baharu. Peningkatan kes Covid-19 secara drastik menjadikan jumlah kes Covid-19 di negara ini meningkat kepada 2,925,254 sejak mula wabak pandemik itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga mengumumkan bahawa negara kita kini berada dalam gelombang Omicron dan menjangkakan jumlah kes harian akan terus meloncak dan mencecah 15,000 kes harian tidak lama lagi. Sebagai wakil anak muda dan mahasiswa, saya berpendapat keadaan ini sudah tentu akan menyukarkan para mahasiswa/i yang bakal menduduki peperiksaan secara bersemuka di universiti masing-masing.

Ini kerana ramai pelajar khuatir akan kesihatan mereka jika mereka hadir bagi peperiksaan secara bersemuka di universiti. Peperiksaan secara bersemuka juga mampu meningkatkan risiko jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan mahasiswa terutamanya bagi golongan yang tinggal di kampus.

Selain itu, ramai pelajar merungut bahawa mereka tidak diberikan statistik terkini Covid-19 di kampus universiti. Oleh itu, status terkini Covid-19 di kampus mengikut kolej kediaman juga perlu dihebahkan kepada para pelajar sebagai peringatan bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak universiti.

Dengan ini, saya memohon kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan YB Datuk Dr. Noraini Ahmad untuk meneliti dan memperhalusi kaedah peperiksaan dengan perangkaan satu sistem yang standard untuk menjadi “rulebook” kepada pihak pengurusan universiti bagi membendung penularan wabak Covid-19 terutamanya semasa musim peperiksaan.

Wabak Covid-19 ini adalah soal hidup atau mati. Oleh itu, tiada kompromi dalam soal kesihatan mahasiswa/i kita, jadi pihak KPT perlu mengambil perhatian terhadap kesihatan mahasiswa/i dalam situasi pandemik yang tidak tertentu ini. Golongan mahasiswa perlu diberi peluang untuk menduduki peperiksaan secara atas talian seperti mana dilakukan sebelum ini.

Kiran Raj Sathivel
Ahli Parlimen Belia Malaysia (Johor)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast