Sebanyak 39 bot penumpang ditahan susulan gagal patuhi arahan yang ditetapkan.

GEORGE TOWN – Pasukan Polis Marin Wilayah Satu menahan 39 bot penumpang yang melakukan pelbagai kesalahan di sekitar perairan negeri ini, Langkawi, Perak dan Selangor.

Komandernya, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, operasi khas sempena Tahun Baharu Cina bermula 21 Januari hingga Isnin lalu itu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran kepada pengusaha bot terhadap keselamatan penumpang.

Asisten Komisioner Shamsol Kassim

“Beberapa kesalahan dikenal pasti menyebabkan kesemua bot berkenaan ditahan sebelum diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk tindakan selanjutnya.

“Antara kesalahan yang dilakukan pengusaha-pengusaha bot penumpang temasuk, lesen bot tamat tempoh, tiada lesen sah, tidak memiliki sijil kompentensi (COC) dan tidak memiliki Insurans Penumpang seperti yang disyaratkan oleh JLM,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam operasi sama, Shamsol berkata, pihaknya juga membuat pemeriksaan terhadap bot pukat tunda yang beroperasi di kawasan perairan Wilayah Satu.

“Dalam pemeriksaan itu, kita menahan 52 bot pukat tunda yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah menggunakan mata pukat Keroncong bersaiz mata pukat kurang dari 38 milimeter selain pemilik bot didapati tidak mengusaha sendiri, menggunakan bot ikan tanpa permit yang sah atau menggunakan lesen orang lain serta menjalankan aktiviti penundaan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast