Penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah (kiri) dan Zamani bergambar selepas sidang media konsert 'A Night to Remember' di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 09 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Jamal Abdillah bakal menimang cahaya mata kelimanya tidak lama lagi.

Berita baik itu disampaikan sendiri selebriti berusia 63 tahun itu dan menyatakan anaknya itu dijangka dilahirkan pada 22 Februari ini.

Anak yang bakal lahir melalui pembedahan itu merupakan anak ketiga beliau bersama dengan isteri, Zai Izzati Khiruddin yang berusia 27 tahun.

 

Jamal Abdillah

Beliau ditemui selepas majlis pengumuman Imaginex akan menganjurkan persembahan dan makan malam A Night To Remember di sini hari ini.

Konsert berkonsepkan pop night pada 26 Mac ini akan diadakan di Manhattan Ballroom Berjaya Hotel, Kuala Lumpur.

Persembahan istimewa tersebut bakal menampilkan gandingan Jamal dan Zamani Ibrahim serta beberapa pemuzik handalan tanah air antaranya Ritz Metalasia dan Sham Wings.

Ketua Pegawai Eksekutif Imaginex, Amir Shah Daud berkata, berikutan pandemik yang melanda, persembahan tersebut akan diadakan mengikut ketetapan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Menurutnya, dewan yang berkapasiti 1500 itu akan hanya memuatkan penonton seramai 600 orang sahaja.

Persembahan makan malam berdurasi dua jam itu menyediakan 100 buah meja dengan harga yang berbeza mengikut kategori VVIP, VIP, Platinum, Premium dan Gold.

Jamal juga bercadang untuk menyanyikan lagu sahabat seperjuangan yang telah meninggal dunia sebagai penghargaan kepada mereka dalam persembahan itu nanti.

Zamani yang sempat menyampaikan sebuah lagu ketika sidang media diadakan hari ini dan menegaskan akan menyanyikan lagu-lagu dari album solonya memandangkan dalam masa terdekat beliau akan mengadakan konsert bersama kumpulan Slam.

Zamani

Disoal mengenai trend artis tular menyertai program realiti, beliau berpendapat, populariti dan kualiti merupakan dua aspek penting dalam mana-mana program pertandingan hiburan.

“Berbeza dengan zaman saya dahulu yang hanya memandang kepada kualiti tanpa memandang kepada populariti,” ujarnya.

Tiket persembahan makan malam bersama dua artis berkenaan boleh dibeli secara atas talian di www.ilassotickets.com bermula hari ini.-MalaysiaGazette