KUALA LUMPUR – Iskandar Capital Sdn. Bhd. (Iskcap) memperkenalkan Skim Perumahan Pelbagai Pendapatan (MIH) yang dibangunkan di Wawari di kawasan seluas 3,000 ekar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad. Datuk Khairil Anwar Ahmad berkata, skim MIH adalah satu model yang menggalakkan pembinaan perumahan yang adil, saksama, inklusif dan mampu milik untuk semua peringkat pendapatan di Negeri Johor.
Melalui inisiatif ini, golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) boleh menjadi jiran dan tinggal dalam satu komuniti.
”Iskcap komited untuk terus menyokong Kerajaan Negeri dalam menjaga kepentingan masyarakat setempat dan meningkatkan bilangan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Johor,” katanya yang juga Pengerusi Iskcap.
Pengumuman itu dibuat semasa Majlis Pertukaran Dokumen di Iskandar Puteri yang dihadiri Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan).
Inisiatif MIH bertujuan meminimumkan jurang sosial dengan mewujudkan kepelbagaian komuniti, yang mana semua lapisan masyarakat hidup harmoni dalam satu komuniti bersepadu, dihubungkan oleh elemen hijau dari aspek infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan.
Menurutnya, inisiatif MIH turut menawarkan fasiliti penting untuk memudahkan mobiliti dan mempunyai elemen kelestarian seperti penuaian air hujan, panel solar, landskap hijau dan pokok kanopi serta pengurusan sisa.
Usaha ini adalah hasil integrasi bersama Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ), atau juga di kenali sebagai Value Homes (VH) dan Value Plus Homes (VPH).
Projek ini memberi tumpuan kepada sasaran pasaran yang lebih luas iaitu dari golongan yang pendapatan rendah hingga sederhana.
Tambah beliau, projek sulung MIH ini ditempatkan secara strategik bersebelahan Kolej Malborough Malaysia dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Shiya Development Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemilikan Bumiputera sepenuhnya.
Projek sulung MIH akan mula dibina pada tahun 2023 dan dijangka siap pada tahun 2026. – MalaysiaGazette