Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari UMNO bukan kerana beliau mempersoalkan mengenai 1Malaysia Deevelopment Malaysia (1MDB), tegas Datuk Seri Najib Razak.

Dakwa Najib, Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015 sebab Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sudah berkomplot bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sejak tahun 2014, sebelum 1MDB menjadi isu.

“Nak tipu pun perlu tahu bahawa internet tak lupa,” tempelak Najib yang menjawab dakwaan Muhyiddin yang mendedahkan beliau dilabel sebagai pengkhianat UMNO kerana mendedahkan skandal 1MDB.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan itu turut berkongsi keterangan Mukhriz di Mahkamah Tinggi yang bersetuju Mahathir telah berusaha untuk menjatuhkannya dan rancangan itu bukan bermula pada tahun 2015 tetapi lebih awal lagi iaitu tahun 2014.

”Lalu setahun kemudian, dia dipecat dari UMNO pada Mei 2016 sebab melanggar disiplin parti setelah dia hadir acara bersama pembangkang pada Mac 2016,” tambahnya.

Bekas Perdana Menteri Keenam itu menegaskan, selepas Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan sebelum dia dipecat dari UMNO, Muhyiddin pernah memberitahu Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bahawa beliau tidak ada masalah akaun Presiden UMNO ada dana yang besar sebab ini memang amalan biasa dari dulu lagi.

Lantaran itu, Najib meminta Muhyiddin tidak menipu kerana semuanya ada bukti.

Sebaliknya, dalam hantaran di Faceebook, Najib bertanya adakah Muhyiddin khianat Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) disebabkan 1MDB.

”Dia khianat Pak Lah, dia naik dari Naib presiden menjadi Timbalan presiden dan timbalan perdana menteri. Adakah dia khianat Mahathir dan PH sehingga kerajaan jatuh adalah sebab 1MDB?

”Dia khianat Mahathir dan PH dan dia naik dari Menteri KDN menjadi Perdana Menteri.

”Adakah dia derhaka pada YDP Agong sebab 1MDB? Dia derhaka pada YDP Agong dengan melawan titah bahawa ordinan darurat perlu didebat dalam Dewan Rakyat dalam cubaan untuk mengelak kalah undi ordinan dan dia hilang jawatan sebagai Perdana Menteri.

”Sehingga YDP Agong dua kali zahirkan amat dukacita hanya sebab dia mahu kekalkan jawatan PM. Trek rekod dia ialah pengkhianat,” bidas Najib.

Tegas Najib lagi: “Kalau dia nak kata gelarkan saya sebagai penjenayah sebab ianya bukan hak saya untuk sedekahkan RM42 juta dalam kes SRC, dipersilakan.

Tapi perlu faham juga bahawa RM642 juta yang saya terima dari Kementerian Kewangan Arab Saudi terus ke akaun saya pun digunakan sepenuhnya untuk kerja CSR (tanggungjawab sosial korporat), program rakyat melalui parti dan sebagai sedekah – bukan untuk penggunaan peribadi.

”Berapa yang kamu bagi kepada rakyat pula? Namun saya tak khianat dan tak derhaka”.

Najib mendakwa, Muhyiddin juga sehingga kini pun dia tidak berani mengaku suara dalam rakaman audio “scheme of things” adalah suaranya.

Dalam rakaman itu, Presiden PPBM didakwa merancang untuk sogok dan membeli ahli-ahli UMNO.

”Tanya dia lagi. Suara siapa ini, bila ini dan mesyuarat apa ini.

”Masa itu dia mahu berpakat dengan UMNO untuk naikkan dia sebagai PM tetapi pada masa yang sama dia rancang untuk khianat UMNO dengan sogokan. Kenapa dia tak berani mengaku?

”Sebab sogokan adalah jenayah juga. Terus dia masuk dalam kluster mahkamah,” kata Najib. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.