Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan memberikan keutamaan kepada lapan kategori pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus mulai bulan depan.

Ia melibatkan pelajar di semua peringkat pengajian yang memerlukan kerja-kerja amali, pelajar yang tiada akses internet, pelajar berkeperluan khas (OKU), pelajar yang akan menduduki peperiksaan seperti MUET, antarabangsa dan profesional, pelajar yang telah berada di lokaliti berhampiran kampus induk Parit Raja dan kampus Cawangan Pagoh serta pelajar-pelajar baharu yang akan mendaftar pada bulan Mac 2022 ini.

Untuk itu, UTHM mensasarkan kemasukan seramai 13,000 pelajar secara fizikal iaitu 68 peratus dari keseluruhan enrolmen pelajar yang akan kembali ke kampus bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka atau hibrid untuk fasa pertama ini.

“Pihak universiti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin bagi mencegah penularan Covid-19 di dalam kampus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, keutamaan hanya akan diberikan kepada pelajar yang telah melengkapkan dos vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin. – MalaysiaGazette