Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

KUALA LUMPUR – Bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam akan dipanggil semula oleh Bukit Aman sekiranya wujud keperluan lagi untuk membantu siasatan polis berhubung dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman masih sedang meneruskan siasatan ke atas aktivis wanita itu.

“Kita masih meneruskan siasatan dalam kes ini dan jika wujud keperluan Lalitha akan dipanggil semula oleh USJT D5 untuk sambung rakam keterangan daripadanya bagi membantu siasatan.

“Selepas siasatan selesai dijalankan, kertas siasatan lengkap kes berkenaan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan tindakan lanjut polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Terdahulu, pada 3 Februari lalu, Lalitha bersama peguamnya, Manjeet Singh Dhillon tampil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan sekitar jam 12 tengahari sebelum meninggalkan ibu pejabat polis itu pukul 6.30 petang.

Siasatan itu dimulakan polis selepas pada 12 Januari lalu selepas Azam melalui peguam mewakilinya memfailkan tuntutan saman fitnah RM10 juta terhadap Lalitha di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tuntutan saman fitnah itu dikemukan pasukan Azam ke atas Lalitha berikutan tindakan wanita itu yang menerbitkan dua artikel di sebuah portal agensi berita, masing-masing pada 26 Oktober dan 15 Disember tahun lalu membabitkan pemilikan saham oleh Azam.

Azam memaklumkan pihaknya mengemukakan saman terhadap mereka yang mencemarkan reputasi dan kedudukan beliau termasuk imej SPRM dengan kenyataan fitnah dan tidak benar sebagai langkah memastikan dakwaan tidak berasas sedemikian tidak berulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast