Dr Wan Hashim Wan Teh

Saya merasa selesa apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil-alih pucuk pimpinan negara pada 20 Ogos 2021 kerana suasana politik negara jadi sangat tenang dan kita berharap sangat agar ini akan dapat dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) nanti.

Itulah yang paling penting kita perolehi hasil daripada pemerintahan Ismail Sabri, iaitu politik menjadi stabil, di mana politiking sangat berkurangan kalau kita bandingkan dengan tempoh sebelum ini dan sudah tentunya perkara ini kita kena beri kredit kepada Perdana Menterinya.

Ismail Sabri adalah Perdana Menteri moderat yang mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat apa-apa keputusan penting di dalam kerajaan dan juga melihat keluar ke Singapura, ke Indonesia dan kini ke Brunei dengan cepat walaupun ada pandemik Covid-19.

Ismail Sabri mempunyai kelebihan yang tertentu walaupun belum kita nampak kegarangan beliau seperti yang dipunyai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak peduli mengenai tahap populariti beliau tetapi mahu melakukan apa yang terbaik untuk negara secara lebih tegas.

Ismail Sabri juga sudah membuktikan kebolehan beliau semasa menjadi Menteri Kanan Pertahanan dahulu untuk menangani masalah pandemik Covid-19 dan saya percaya buat masa ini inilah orang yang diperlukan oleh Malaysia sesuai dengan suasana politik yang ada.

Markah yang tinggi perlu diberikan kepada Ismail Sabri dan Kabinet beliau dalam menangani masalah pandemik Covid-19, di mana saya rasa suatu yang dahsyat berlaku daripada lebih 10 ribu kes serius suatu ketika dahulu tetapi sekarang sudah jauh berkurangan jumlah kes serius.

Itu satu kejayaan Ismail Sabri dan Kabinet beliau dengan kerjasama semua ahli masyarakat dan parti-parti pembangkang juga, terutamanya dari segi ketegasan kerajaan ke atas mereka yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Jika sebelum ini ada dipertikaikan bagaimana Menteri Kabinet boleh terlepas dari hukuman bila mereka melanggar SOP, tapi dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini dan dalam pra-kempen PRN Johor sekarang Menteri Kabinet juga tidak terlepas.

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka baru-baru ini juga boleh kita berikan kredit kepada Ismail Sabri, rakyat sedar keberuntungan mempunyai politik yang stabil ini, dan mereka mahukan kedamaian dan keharmonian untuk semua dapat bekerja membina negara.

Bagaimanapun, selepas kemenangan BN dalam PRN Melaka, ada pula pihak-pihak yang mahukan supaya PRU 15 juga dipercepatkan dengan mengambilkira beberapa pertimbangan, antaranya ialah supaya momentum kemenangan BN dapat dikekalkan dan sebagainya.

Ini pada saya adalah pemikiran orang politik yang sentiasa mahu menang dan menjadi dominan, tetapi bagi saya ini semua adalah tidak perlu kerana kita tidak tahu apa yang boleh berlaku dalam PRU 15, tambah lagi dengan kemasukan begitu ramai pengundi baru.

Usahlah kita menjadi seperti kata peribahasa Melayu “Mendengarkan guruh di langit, air tempayan dicurahkan”, sebaliknya manfaatkanlah sepenuhnya kuasa yang sedia ada di tangan untuk melakukan apa yang terdaya dengan sebaik mungkin bagi memulihkan negara.

Berilah masa secukupnya kepada Ismail Sabri mengemudi bahtera kejayaan ini sehingga ke penghujungnya, iaitu bila penggal Parlimen ini berakhir pada awal 2023, kerana sudah banyak kebaikan dan pembaharuan yang beliau bawa kepada negara dalam tempoh singkat ini.

Kami ahli-ahli akademik melihat Ismail Sabri seorang pemimpin yang jujur dan ikhlas, bila Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) ditandatangani butirannya benar-benar dilaksana.

Apa lagi yang pemimpin Kerajaan Persekutuan dan PH tidak berpuas hati dengan perjalanan kerajaan di bawah Ismail Sabri hingga memerlukan mereka mendesak PRU 15 dilangsungkan segera kerana dengan kestabilan politik sekarang pun pembaharuan sudah boleh dibuat?

Memang benar jangka hayat MOU tersebut akan berakhir pada 31 Julai 2021, tetapi walaupun ia sudah berakhir semangat MOU itu harus dikekalkan sehingga ia semacam akan menjadi normal baru dari segi kerjasama yang terjalin antara kerajaan dan parti-parti pembangkang.

Biarlah satu-satu penggal Parlimen itu berlangsung sehingga habis barulah PRU diadakan untuk mendapatkan mandat baru yang segar kepada seorang Perdana Menteri lain, sama ada ia adalah Ismail Sabri atau seorang pemimpin lain dari parti yang sama atau dari parti yang lain.

Untuk menjadikan politik negara lebih stabil, kami ahli-ahli akademik yang berpandangan serupa berpendapat bahawa, selain daripada pengenalan akta anti lompat parti, satu langkah besar yang boleh diambil ialah dengan menjadikan tarikh PRU satu perkara yang tetap.

Kita perlu mengambil contoh daripada perlembagaan negara yang lebih maju seperti Amerika Syarikat, malah negara jiran kita Indonesia juga, yang memperuntukkan bahawa pemilihan Presiden di negara mereka wajib secara automatik dilangsungkan pada tarikh tertentu.

Jika peruntukan begini dapat dimasukkan juga ke dalam perlembagaan negara kita maka akan hilanglah ketidaktentuan dan politiking berlebihan dalam negara sekali gus akan menjadikan semua pihak dapat fokus kepada kerja masing-masing sehinggalah tarikh PRU tiba.

Dari sudut budaya politik pula, saya membaca yang kita sebenarnya menuju ke arah sistem dua parti yang sentiasa akan ada persaingan antara dua pihak, dan saya rasa ia adalah baik untuk negara kerana ia memberikan pilihan dan ‘check and balance’ kepada rakyat dan kerajaan.

Apa yang paling penting dalam suasana kita masih menghadapi banyak masalah dalam negara ialah pengekalan kestabilan politik supaya pemulihan ekonomi yang sedang berjalan pesat sekarang tidak terencat, dan setakat ini kestabilan politik mampu diberi oleh Ismail Sabri.

Penulis, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, adalah Prof Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast