Rafizi Ramli comeback PKR election GE General
Rafizi Ramli

PETALING JAYA – Dengan pemilihan PKR akan mengambil tempat pada April, beberapa pemimpin parti itu sedang memujuk “Raja Bongkar”, Mohd. Rafizi Ramli untuk kembali bertanding dan memasuki barisan kepimpinan tertinggi.

Sinchew Daily melaporkan, seorang pemimpin PKR telah mengesahkan bahawa sedang memujuk Rafizi untuk “pulang” bagi membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami mengalu-alukan kepulangan Rafizi. Hakikatnya, walaupun Rafizi bukan Ahli Parlimen semasa mencabar jawatan parti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan Menteri Besar Selangor pada masa itu, beliau tetap memperoleh 49 peratus undi.

“Rafizi merupakan seorang individu yang mewakili cita-cita dalam parti,” kata sumber kepada akhbar itu.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau belum membuat keputusan untuk “pulang” .

Beliau juga tidak menafikan menerima ajakan untuk menyertai parti-parti politik tertentu termasuk dijemput oleh orang yang mendakwa diri mewakili Warisan.

Kata Rafizi, beliau bagaimanapun belum memikirkan secara serius untuk kembali ke arena politik.

“Saya mencari petunjuk Tuhan dan selalu berkomunikasi dengan ahli keluaraga dan mendengar pandangan orang. Ini sahajalah yang saya boleh katakan pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette