Pekerja sangkar ikan warga Myanmar di Batu Maung, Pulau Pinang ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Gambar ihsan - APMM Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan seorang pekerja sangkar ikan warga Myanmar susulan didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pukul 1.30 petang semalam, ketika pasukan agensi berkenaan melakukan rondaan Op Pertiwi di kedudukan 0.4 batu nautika tenggara Batu Maung.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati, lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika diminta.

Katanya, pendatang asing tanpa izin itu ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban, di sini.

“Lelaki berkenaan kemudian diserah kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut kesalahan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen, iaitu berada di Malaysia tanpa memiliki pas yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau kejadian kecemasan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 262 6146 atau MERS 999. – MalaysiaGazette