Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini secara rasmi mengumumkan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023.

AFC sebelum ini mengesahkan semua perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 akan diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format single round robin.

Langkah itu dibuat setelah mengambil kira faktor-faktor serta cabaran yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Enam venue berpusat telah ditawarkan kepada 24 pasukan yang bertanding dalam saingan kelayakan itu.

Selain Malaysia, lima lagi negara yang terpilih ialah India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan.

Tiga tarikh telah ditetapkan untuk perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 iaitu 8,11 dan 14 Jun ini.

Pasukan yang akan menentang Malaysia bakal ditentukan melalui undian rasmi pada 24 Februari ini.

Pembahagian pasukan dalam balang undian adalah berdasarkan kedudukan ranking FIFA pada 10 Februari 2022.

Malaysia berada dalam balang tiga undian Kelayakan Piala Asia 2023 bersama Afghanistan, Yemen, Myanmar, Maldives dan Indonesia.

Sebanyak 24 pasukan ini akan diundi dalam enam kumpulan.

Hanya juara kumpulan dan lima pasukan naib juara kumpulan terbaik akan dapat tiket beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast