Renowned Islamic preacher, Ebit Lew with the Chairman of Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar (right) and his lawyer outside the Tenom Court in Sabah.
Renowned Islamic preacher, Ebit Lew with the Chairman of Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar (right) and his lawyer outside the Tenom Court in Sabah. Pendakwah terkenal, Ebit Lew bersama Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar (kanan) dan peguamnya di luar Mahkamah Tenom, Sabah, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Lew yang berdepan 11 pertuduhan termasuk gangguan seksual ke atas seorang individu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas, melampau dan berniat untuk menjatuhkan kredibilitinya.

Ebit, 37, tidak menolak kemungkinan kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya bukan dilakukan seorang individu, sebaliknya didalangi sekumpulan pihak yang cuba menghalang kerja-kerja dakwah khususnya di Sabah

“Saya percaya ada satu kumpulan yang merancang bukan satu dua hari untuk mengenakan saya.

“Saya tahu saya tak bersalah, saya yakin perancangan ini dilakukan ramai orang sejak dulu lagi, macam-macam gangguan terhadap kerja amal ini.

“Saya dapat tahu hanya seorang individu sahaja buat 11 pertuduhan terhadap saya,” katanya menerusi video yang dikongsi satu akaun Facebook di luar Mahkamah Tenom, Sabah, hari ini.

Terdahulu, Ebit tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, Sabah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan menaiki sebuah Toyota Vellfire.

Kehadiran Ebit ditemani beberapa rakan taulannya termasuk Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

Dalam pada itu, Ebit dimaklumkan pertuduhan itu pada saat akhir ketika beliau dalam siri kunjungannya ke Sabah untuk tujuan kerja-kerja amal.

“Tiba-tiba dapat tahu itu saya terkejut juga dan saya bukan plan ke sini (Sabah) untuk datang mahkamah.

“Saya baru tahu perkara ini beberapa hari lepas, saya terkejut juga ketika saya dalam kerja amal urus kat Sabah ini 40 hari,” katanya.

Bagaimanapun Ebit menerima pertuduhan itu dengan hati terbuka dan sedia meneruskan proses perundangan itu untuk membersihkan namanya.

“Saya selalu fikir positif sahaja tapi saya redha dengan ketentuan Allah, saya anggap ia satu ujian Allah untuk saya.

“Tujuannya ampun dosa, beri pahala dan naik darjat, saya rasa tenang melaluinya kena pula tengah kita buat kerja amal keluar jalan Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette