Bendera pkr
Pengumuman rasmi calon yang menang jawatan pada Pemilihan PKR 2022 akan diumumkan pada 25 Jun depan sempena Kongres Nasional Tahunan Keadilan.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Pua berkata, partinya tidak harus memikul tanggungjawab penuh dalam kegagalan rundingan kerusi dengan MUDA.

Jimmy menegaskan, PKR telah menawarkan tiga kerusi, tetapi tawaran tersebut ditolak MUDA.

Ditanya sama ada masih terdapat ruang rundingan dengan MUDA, Jimmy berkata, perkara itu akan ditentukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.

“Saya tidak tahu sama ada masih boleh dirundingkan, mungkin Anwar dan pengerusi negeri akan berpendapat ada benda yang boleh dibincangkan.

“Setahu saya, rundingan sampai di sini sahaja (berakhir),” katanya kepada Sinchew Daily.

Jelasnya, PKR bukannya tidak sanggup memberi laluan, tetapi tiga kerusi yang ditawarkan telah ditolak MUDA.

MUDA sebelum ini telah mencapai persetujuan dengan DAP dan Amanah supaya parti itu bertanding di enam kerusi iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Keenam-enam kerusi itu ditandingi Bersatu sebelum ini dan parti itu juga menang di Tenang, Bukit Kepong, Bukit Permai dan Puteri Wangsa. – MalaysiaGazette