Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik hasrat Rafizi Ramli untuk kembali aktif ke dalam kancah politik dan membuat kemunculan semula dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, PKR tidak pernah menghalang mana-mana ahli khususnya pimpinan tertinggi untuk kembali memperkukuhkan parti itu dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

“Dia (Rafizi) ahli parti dan ada hak seperti mana semua ahli. Kita mengalu-alukan penyertaan dan harus merangkul semua,” katanya pada sidang media ketika bersiaran langsung di Facebook rasminya, hari ini.

Sebelum ini, desas-desus mengatakan Rafizi dan juga seorang lagi bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bakal membuat kemunculan semula dalam PKR dan politik tanah air dalam masa terdekat bagi mengukuhkan kembali parti itu.

MalaysiaGazette difahamkan sebilangan besar penyokong muda dan pemimpin PKR sedang berusaha memujuk Rafizi menerajui bagi memperkukuhkan parti itu dengan melantiknya sebagai Timbalan Presiden sewaktu pemilihan PKR, April ini.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu seolah-olah memberikan reaksi positif menerusi ciapan Twitter apabila beliau menjelaskan akan mempertimbangkan permintaan itu terlebih dahulu.

Sebelum berundur sepenuhnya daripada politik pada penghujung 2019, Rafizi merupakan watak yang berpengaruh dalam PKR dan dianggap salah seorang penasihat paling diyakini Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast