Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pelik jika kisah pemimpin parti itu terus dijaja, malah lebih banyak cerita akan dikeluarkan selepas hari penamaan calon dan tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini kerana, strategi mereka jika tidak boleh menyerang calon-calon UMNO yang bertanding di Johor, perlu dialihkan perhatian ‘drama’ di peringkat nasional.

Lantaran itu, Zahid tidak pelik dengan cerita pemimpin UMNO bawa fail, merayu, berunding atau apa sahaja kerana semua cerita itu akan terus keluar.

Menurutnya, jika tidak ada pilihan raya maka tidak keluar apa-apa cerita – tiada fail, tiada rundingan, sekali pun pada masa tersebut, si penjaja cerita memegang jawatan tertinggi dalam negara.

”Tetapi oleh kerana tidak ada pilihan raya – PRK (pilihan raya kecil) atau PRN – maka semua cerita yang dikatakan itu seperti tidak perlu didedahkan.

”Dalam cerita-cerita ini, prinsipnya mudah – kebenaran itu berpilih-pilih. Perkara yang dianggap jahat dan menyalahgunakan kuasa hanya akan menjadi salah dan jahat jika tidak menyebelahi pihak mereka,” dakwa Zahid lagi.

Sedangkan semua mengetahui bahawa sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkuasa, beberapa siri tekanan telah diberikan.

Antaranya, UMNO mesti menyingkirkan Presiden UMNO dan Datuk Seri Najib Razak dan serta mana-mana pemimpin yang berselisih secara peribadi dengan mana-mana pemimpin PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Selain itu, pemimpin-pemimpin UMNO mesti dituduh dan didakwa sebanyak mungkin melainkan mereka bersetuju untuk menyertai PPBM, maka tuduhan-tuduhan tersebut akan digugurkan serta merta seperti keistimewaan yang diberikan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Mas Emieyati Samsudin yang pada mulanya dituduh namun digugurkan tuduhan mereka.

Pemimpin UMNO mesti membuktikan mereka bersih dan tidak bersekongkol dengan kejahatan dengan cara membubarkan UMNO sepenuhnya.

Katanya, pemimpin UMNO mesti mengelakkan diri daripada disiasat dengan membawa masuk seramai mungkin ahli dan pemimpin UMNO ke dalam PPBM dan pemimpin UMNO dianggap sebagai terus bersalah sekali pun pendakwaan atau perbicaraan mahkamah masih berjalan.

Manakala, jika pemimpin di pihak mereka seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Lim Guan Eng yang didakwa, mereka bukan kluster mahkamah dan prinsip innocent until proven guilty terpakai kepada mereka, cuma tidak kepada pemimpin UMNO.

”Ayuh, ambil popcorn, kita tunggu episod seterusnya,” kata Zahid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast