KUALA LUMPUR – Nexus Produktiviti Logistik (LPN) mampu meningkatkan daya saing industri logistik bagi merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab logistik serantau.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, peningkatan infrastruktur logistik dan pemasaran yang lebih agresif oleh negara-negara jiran telah memberikan cabaran kepada peserta industri logistik di negara ini.

“Bagi melonjakkan produktiviti sektor logistik negara, LPN akan melaksanakan inisiatif berimpak tinggi untuk membantu peniaga logistik meningkatkan daya saing melalui empat fokus utama iaitu bakat, teknologi, struktur industri dan peraturan.

”Penubuhan Produktiviti Nexus Logistik ini yang diterajui oleh industri mampu memacu sektor ini agar lebih produktif dan berdaya saing,” kata Abdul Latif semasa sesi perbincangan strategik bagi penubuhan Nexus Produktiviti Logistik (LPN) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Isham Ishak di Putrajaya baru-baru ini.

Menurutnya, LPN yang ditubuh di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) akan membantu menarik penyertaan swasta dalam meningkatkan produktiviti sektor logistik seperti yang telah dilaksana oleh sembilan Nexus Produktiviti yang telah ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

”RMKe-12 turut menyatakan kos perkhidmatan logistik di Malaysia lebih tinggi berbanding dengan pesaing serantau. Selain itu, industri ini juga berhadapan dengan kekurangan bakat yang berkemahiran dan berpengalaman serta mempunyai ciri-ciri keusahawanan”, tambah beliau.

Tambahnya, seperti juga isu yang menjadi tumpuan penyelesaian sembilan Nexus sebelum ini, tahap penerimagunaan teknologi dalam industri ini juga masih rendah, Nexus akan bekerjasama dengan pemain industri untuk mengenal pasti strategi terbaik untuk meningkatkan penerimagunaan teknologi yang merupakan antara faktor penting peningkatan produktiviti.

”Selaras dengan peranan besar industri ini sebagai tulang belakang kepada industri-industri lain dan rantaian global, peningkatan produktiviti dalam subsektor ini akan memberi kesan limpahan yang positif kepada sektor yang lain,” ujar beliau.

Menyokong penubuhan dan lantikan peneraju ini, pihak MOT juga mengalakkan agar pihak industri memanfaatkan portal MyLogistik yang telah dibangunkan oleh pihak MOT dan Pusat Geospatial Negara.

MyLogistik merupakan aplikasi yang dapat membantu pemain industri logistik dalam merancang pergerakan barangan yang paling efisien dengan mengambil kira infrastruktur dan ketersambungan yang ada bagi penjimatan kos.

Subsektor logistik menyumbang 3.1% kepada KDNK dan Gunatenaga 3.6% tahap produktiviti berbanding nasional. – MalaysiaGazette