Telur
Seorang pekerja menyusun telur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan kenaikan harga telur di pasaran di sekitar Pasar Borong Harian Selayang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 3 FABRUARI 2022.

SEBERANG PERAI – Pemberian subsidi untuk ayam dan telur tidak akan menyelesaikan masalah kekurangan bahan makanan itu secara serta merta.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Tan Chee Hee berkata, keadaan kekurangan telur dijangka berterusan sehingga akhir Mac dan bekalan hanya akan menjadi stabil pada April.

Mengenai pelaksanaan harga kawalan pula, Chee Hee berkata, keadaan itu memang menyebabkan gangguan kepada penternak, tetapi mereka tidak mampu melakukan apa-apa melainkan mengawal aliran tunai.

Katanya, penternak juga berharap keuntungan dapat dicatatkan semula pada Julai apabila kerajaan mengakhiri kawalan harga itu.

“Kerugian telah berlaku sebelum ini dan pengeluaran terpaksa dikurangkan. Berdasarkan keadaan semasa, kami berharap situasi akan bertambah baik pada April.

“Untuk memulihkan bekalan telur, ia bagaimanapun bergantung kepada rancangan subsidi kerajaan kerana harga kawalan telah menjejaskan operasi ladang,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.

Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju memberi subsidi 60 sen sekilogram ayam dan lima sen untuk sebiji telur untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos yang dihadapi mereka.

Kerajaan pada masa yang sama juga memutuskan untuk menetapkan harga siling runcit bagi ayam dan telur bagi menjamin kestabilan harga.

Menurut Chee Hee, sebanyak 32 juta biji telur dihasilkan setiap hari pada masa ini, berbanding keperluan pasaran sebanyak 35 juta biji.

“Sesetengah kawasan berlaku kekurangan telur kerana kawalan harga telah menyebabkan pemborong tidak menghantar telur ke tempat yang jauh kerana susah mendapat keuntungan selepas mengambil kira kos pengangkutan.

“Konsepnya mudah, rantaian bekalan tidak akan terputus jika semua pihak dalam rantaian itu dapat menikmati keuntungan,” katanya.

Menurutnya, walaupun kerajaan melakukan yang terbaik untuk memastikan rakyat mendapat protein dengan harga rendah, tetapi kawalan harga menyukarkan penternak dan pengusaha berkaitan.

“Jika makanan untuk ternakan terus melonjak, maka subsidi lima sen untuk setiap biji telur tidak akan banyak membantu,” katanya.

Menurutnya, kos makanan ternakan yang tinggi, keadaan pandemik yang tidak menentu serta kawalan harga merupakan tiga faktor yang menghimpit penternak.

Sepanjang tempoh pandemik selama dua tahun, katanya, ramai penternak yang berdepan kerugian telah memilih untuk mengurangkan pengeluaran, malahan ada yang sudah meninggalkan perusahaan penternakan ayam. – MalaysiaGazette