Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap kepada media selepas menghadiri Program Kesejahteraan Keluarga dan Pembangunan Minda Kesihatan Masyarakat Orang Asli Daerah Batu Pahat di Parit Sulong, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 FEBRUARI 2022.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap kepada media selepas menghadiri Program Kesejahteraan Keluarga dan Pembangunan Minda Kesihatan Masyarakat Orang Asli Daerah Batu Pahat di Parit Sulong, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 FEBRUARI 2022.

BATU PAHAT – Langkah UMNO mengurangkan kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan parti tersebut mempunyai sikap bertolak ansur antara parti-parti dalam Barisan Nasional (BN).

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan itu juga membuktikan BN mementingkan sikap bermusyawarah.

“Bila anda ada lebih dari satu parti seperti Barisan Nasional, kena ada istilah tolak ansur. Tak boleh ambil semua dekat kita.

“Bila datang kepada parti seperti ada UMNO, MCA, ada MIC dan kita pula adalah gabungan daripada 60 tahun, jadi kita kena ada sifat tolak ansur.

”UMNO juga bertolak ansur, MIC juga kena bertolak ansur, MCA juga bertolak ansur. Akhirnya ada kata sepakat yang diputuskan semalam,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menghadiri program kesejahteraan keluarga dan pembangunan minda kesihatan masyarakat Orang Asli daerah Batu Pahat, hari ini.

Mahdzir berkata demikian mengulas mengenai laporan media bahawa parti itu membatalkan hasrat untuk bertanding 42 kerusi dengan hanya meletakkan calon di 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Semalam, ketika mengumumkan calon di Johor Bahru, UMNO membenarkan parti komponennya MCA dan MIC untuk mengekalkan jumlah kerusi sama yang ditandingi pada pilihan raya umum 2018.

Walau bagaimanapun, UMNO akan bertanding di dua kerusi tambahan berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu setelah menyerap kuota dua kerusi Gerakan yang bukan lagi sebahagian daripada BN.

Ditanya mengenai tindakan UMNO menukar calon di dua kerusi DUN semalam, Mahdzir menjelaskan situasi politik di PRN Johor dilhat amat berbeza dengan PRU14 pada 2018 dahulu.

Justeru itu, BN optimis dapat memenangi kerusi-kerusi yang pernah kalah pada PRU14.

“Jadi kecenderungan BN untuk menang di tempat-tempat yang dijangka tidak menang itu kerana kita yakin kita boleh menang.

“Kerana apa yang berlaku di Melaka, di Sarawak, orang pun menjangkakan macam lain tapi pengundi di luar sana sudah mempunyai keputusan yang agak luar biasa berbanding 2018,” katanya lagi. – MalaysiaGazette