SPR
DUN Kempas menyaksikan persaingan sengit tujuh penjuru.

JOHOR BAHRU – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas menyaksikan pertembungan tujuh penjuru termasuk penyertaan tiga calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Antara calon yang menarik perhatian ialah Nornekman Osman daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) merupakan anak kepada penyandang kerusi itu yang juga bekas Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Calon lain bagi kerusi yang terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru itu ialah Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis Maharan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Ramlee Bohani mewakili Barisan Nasional (BN) dan Nur Faizal Abdullah daripada Perikatan Nasional (PN).

Tiga calon Bebas merangkumi guru sekolah swasta Mohd Azwan Abd Rahman, bekas ketua kampung Mohd Hambali Munadi dan kontraktor Mohd Suhimi A Rahman.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Zihan Ismail mengumumkan pencalonan mereka di Pusat Penamaan Calon DUN berkenaan di Dewan Kompleks Perumahan TNB Kempas di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Osman memenangi kerusi DUN Kempas dengan majoriti 9,178 undi selepas menewaskan Ramlee dan calon PAS Dzulkifli Suleiman.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 12 Mac manakala pengundian awal pada 8 Mac.

— BERNAMA