Calon Barisan Nasional N.44 Larkin, Hairi Mad Shah bercakap kepada media sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Larkin, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2022.

JOHOR – Pertembungan enam penjuru termasuk antara Pakatan Harapan (PH) dan Ikatan Muda Demokratik (MUDA) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larki  dikatakan  memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Hairi Mad Shah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Namun Mohd. Hairi pantas menepis tanggapan itu sambil menyifatkan semua calon memiliki kemampuan sama rata untuk menang kerusi itu pada 12 Mac nanti.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor juga tidak boleh mengambil mudah kerana lima pencabarnya itu adalah semuanya calon muka baharu.

“Bila parti berpecah enam penjuru, mungkin kelebihan kepada Barisan Nasional. Mungkin ya dan tidak. Saya selalu ingatkan diri saya iaitu semua lawan tidak mudah kerana sokongan rakyat perlu dengan mendekati mereka. Itu yang pertama.

“Yang keduanya, saya di Johor Bahru melihat keadaan pembangkang. Pada PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), kita tahu Kerajaan BN jatuh termasuk Parlimen Johor Bahru dan juga DUN Stulang dan Larkin.

“Sebab itu saya melipat ganda usaha dengan mendekati rakyat berapa ramai yang mungkin dan itu pendekatan yang saya ambil. Jadi bila ada berkata peluang lebih cerah, saya anggap itu tidak benar dan semua yang bertanding memiliki peluang sama rata sebab semua adalah muka baharu.

“Cuma saya hanya ada kelebihan sedikit kerana ada jawatan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru yang berkhidmat hampir setahun tujuh bulan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette ketika berkempen di Kampung Majidee di sini hari ini.

Calon Barisan Nasional N.44 Larkin, Hairi Mad Shah berbual santai bersama penduduk bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Larkin, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2022.

Selain Mohd. Hairi, DUN Larkin menyaksikan saingan sengit enam penjuru dengan lima daripadanya merupakan muka baharu iaitu Mohamad Riadz Mohamad Hashim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Bujang.

Saingan di kerusi DUN Larkin itu juga menyaksikan penyertaan calon bebas, NorRamadan Buan.

Dr Zamil Najwah Arbain daripada PKR yang pernah bertanding di DUN Tanjung Surat namun tewas pada PRU14, kini bersaing untuk merebut kerusi DUN Larkin pada PRN Johor.

Pada PRU14, kerusi DUN Larkin dimenangi oleh Mohd Izhar Ahmad yang bertanding atas tiket PKR menewaskan Datuk Yahya Ja’afar (BN) dan Zakiah Tukirin (PAS) dengan majoriti undi 8,590.

Mengulas strategi untuk memancing undi di  pengundi 18 tahun ke atas, Mohd. Hairi berkata, Pemuda BN telah mengambil pendekatan sejak sekian lama dengan mendekati anak muda daripada pelbagai sektor.

Cuma jelas beliau yang berusia 38 tahum, kemunculannya menerusi pakaian yang berbeza  sebagai Ketua Pemuda UMNO Johor dan pengerusi badan bukan kerajaan (NGO).

“Mungkin ada yang kenal saya dalam bidang NGO dan ada yang kenal ketika berbaju parti.

“Kami mendekati dari segi e-sport dan yakin Pemuda BN telah menyerapkan cara kaedah strategik yang telah disusun sekian lama mendekati dan Alhamdulillah apabila saya turun berkempen ketika ini, ada anak muda yang mengenali saya,” katanya. – MalaysiaGazette