KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan pemburuan gelaran Liga Super kesembilan berturut-turut dengan mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Skuad Harimau Selatan yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah menerusi kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada minggu lepas, bagaimanapun terpaksa bekerja keras dengan serangan bertali arus untuk memecahkan kubu pertahanan Penang bagi mencari jaringan berharga itu.

Selepas berusaha selama 70 minit, pemain import dari Brazil Bergson da Silva berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma pemain muda Arif Aiman Mohd Hanapi.

Terdahulu, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengutip tiga mata selepas mengatasi pendatang baharu liga, Sarawak United FC menerusi kemenangan 1-0 di Stadium Negeri, Kuching.

Pemain import dari Cameroon Ronald Ngah muncul wira buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dengan jaringan tunggal pada minit ke-16, turut mencatat nama sebagai penjaring pertama bagi Liga Super musim ini.

Di Kota Kinabalu, Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dan deretan peluang terhidang apabila kalah 0-1 kepada juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Likas.

Sabah mendapat peluang terbaik untuk mencipta gol apabila pengadil Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-47, selepas penyerang Neto Pessoa dikasari penjaga gawang Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dalam kotak penalti, namun sepakan penyerang import dari Brazil itu diselamatkan oleh Ahmad Syihan.

Skuad kendalian K. Devan berjaya mengesahkan tiga mata apabila pemain pertahanan, Khair Muhammad Jefri Jones merembat masuk sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee, yang gagal dikeluarkan oleh benteng pertahanan Sabah pada minit ke-52. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast