Foto Facebook Kuala Lumpur City.

KUALA LUMPUR – Juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Selangor FC selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi dramatik Liga Super 2022 di Stadium KLFA, Cheras malam tadi.

Perlawanan yang bermula lewat 40 minit gara-gara hujan lebat bagaimanapun tidak merencatkan persembahan menarik kerana kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik sahaja wisel perlawanan ditiup pengadil.

Pelawat tidak menunggu lama untuk berada dihadapan apabila penyerang importnya, Hyuri Henrique menanduk masuk bola untuk menewaskan Kevin Mendoza pada minit ke-19 untuk mendahului tuan rumah 1-0.

Kegembiraan penyokong Selangor FC bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Zhafri Yahya menjaringkan gol penyamaan selang seminit kemudian yang nyata mengejutkan barisan kejurulatihan dan penyokong Selangor FC.

Pelawat sekali lagi berada dihadapan kali ini menerusi sepakan penalti  disempurnakan Caion de Souza yang mudah menewaskan Mendoza buat kali kedua selang tujuh minit kemudian.

The City Boys bagaimanapun berjaya sekali lagi menyamakan kedudukan hasil jaringan Hadin Azman yang menanduk masuk hantaran lintang dari Ketua pasukan, Paulo Josue menewaskan penjaga gawang Selangor FC, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid untuk kedudukan 2-2.

Memasuki babak kedua giliran KL City FC pula berada dihadapan menerusi jaringan pemain tengah, Ryan Lambert yang melepaskan rembatan deras melepasi kawalan Khairuazhan pada minit ke-60 untuk tuan rumah mendahului pelawat.

Anak didik Bojan Hodak bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning ekoran kekasaran yang dilakukan pemain pertahanan tersebut.

Kelebihan itu dimanfaatkan Selangor FC yang terus menekan tuan rumah dan akhirnya mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Irfan Zakaria ketika pemain berkenaan cuba menghalang rembatan pemain lawan dalam kotak penalti.

Caion de Souza yang diamanahkan mengambil sepakan penalti berkenaan tidak berdepan masalah untuk menjaringkan gol peribadi kedua dan ketika buat pasukan pada minit ke-78.

Ketangkasan Mendoza mengagalkan beberapa percubaan selepas itu memastikan keputusan seri 3-3 kekal sehinggalah tamat perlawanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast