Gambar hiasan

KUALA LUMPURM – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam sentimen berhati-hati dengan kecenderungan meningkat minggu depan.

Jangkaan pengeluaran data yang kukuh minggu depan, perang Rusia-Ukraine dan pengambilan untung kesemuanya dijangka memberikan kesan kepada dagangan.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia akan mengeluarkan angka simpanan stok, pengeluaran dan eksport rasmi pada 10 Mac ini.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpejabat di Singapura Dr Sathia Varqa berkata stok pada akhir Februari dijangka merosot kepada paras terendah dalam tempoh 11 bulan berikutan kenaikan eksport yang lebih pantas berbanding pengeluaran.

“Peningkatan data eksport pada 1-10 Mac boleh merangsang harga dan memulihkan sebahagian daripada penurunan pada Jumaat,” katanya kepada Bernama.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata pasaran MSM dijangka kekal berhati-hati minggu depan berikutan peniaga akan memantau rapat perkembangan krisis Rusia-Ukraine.

“Krisis itu telah menjejaskan bekalan minyak sayur dari kedua-dua negara terutamanya minyak bunga matahari, sekali gus mendorong permintaan ke atas minyak sawit sebagai pengganti. Ia menyebabkan berlaku lonjakan terhadap harga MSM.

“Memandangkan MSM kini menjadi minyak sayur paling mahal di pasaran, sebahagian negara pada masa ini mungkin berhasrat memilih minyak sayur lain dan ia akan menjejaskan harga MSM. Harga semasa yang tinggi mungkin mencetuskan dagangan yang naik turun minggu depan susulan pengambilan untung,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM adalah bercampur-campur, mengambil isyarat daripada pergerakan minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago AS, selain perkembangan krisis Ukraine.

Bagi tempoh Jumaat hingga Jumaat, kontrak Mac 2022 menokok RM48 kepada RM6,780 satu tan, April 2022 mengukuh RM269 kepada RM6,590 satu tan, dan Mei 2022 menambah RM292 kepada RM6,276 satu tan.

Selain itu, kontrak Jun 2022 meningkat RM357 kepada RM6,047 satu tan, Julai 2022 menokok RM399 kepada RM5,875 satu tan dan Ogos 2022 naik RM424 kepada RM5,734 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan menambah kepada 409,796 lot daripada 361,846  lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 336,591 kontrak daripada 317,771 kontrak sebelum ini.

Dalam pada itu, harga fizikal MSM bagi Mac Selatan adalah RM6,900 satu tan. – MalaysiaGazette