Ketua Bersatu Bahagian Parit Sulong, Datuk Ariss Samsudin

BATU PAHAT – Rungutan penduduk beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah berhubung serangan haiwan liar mendapat perhatian Datuk Ariss Samsudin.

Calon parti Perikatan Nasional (PN) itu secara serius mahu tindakan segera diambil pihak berkenaan dan janji untuk menangani isu tersebut terkandung dalam manifesto beliau sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Ariss mempunyai langkah-langkah untuk menyelesaikan isu ancaman haiwan liar itu dan ia dimasukkan ke dalam ikrar beliau menerusi manifesto yang diketengahkan.

Katanya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia telah mendatangkan masalah kacau ganggu dan keresahan terhadap kehidupan rakyat di DUN berkenaan.

“Ada usaha-usaha yang akan kita lakukan melalui agensi kerajaan dan pihak-pihak yang berkenaan kerana kita tahu bahawa ancaman hidupan liar ini perlu diselesaikan dengan kerjasama jabatan-jabatan tertentu.

“Kita tidak boleh sebarang untuk ambil tindakan sendiri apatah lagi kalau hendak menembak kerana perlu mndapat kebenaran yang khusus dartuipada pihak yang berkenaan.

“Saya yakin kerjasama terhadap usaha menyelesaikan masalah ini dengan pihak-pihak berkaitan akan dibantu dengan cara yang baik,” katanya pada sidang media selepas melafazkan ikrar berkenaan di sini hari ini.

Ariss yang pernah menjadi wakil rakyat di kawasan DUN berkenaan selama dua penggal iaitu pada 2004 hingga 2013 berkata, sekiranya beliau dipilih menjadi wakil rakyat sudah tentu beliau mempunyai peluang untuk membawa masalah itu ke Mesyuarat Tindakan Daerah (MTD) yang sentiasa diadakan setiap bulan.

Ujarnya, semua jabatan kerajaan terlibat dalam mesyuarat berkenaan dan masalah yang berlaku itu boleh dibangkit untuk diambil tindakan.

“Insya-Allah saya akan gunakan forum perbincangan mengenai masalah itu hingga ke peringkat negeri untuk perhatian pihak-pihak yang berkenaan.

Terdahulu sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan rungutan penduduk di beberapa buah kampung di jalan Simpang Lima apabila merayu agar pihak berkuasa bertindak segera menangani masalah ancaman anjing liar, babi hutan dan serangan monyet yang kini semakin mengganas di kawasan mereka.

Ini kerana, ancaman haiwan-haiwan liar itu telah membahayakan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak dan berlaku beberapa insiden kemalangan ekoran serangan haiwan-haiwan liar tersebut.

Penduduk mendakwa, keadaan itu tidak lagi terkawal sehingga kemunculan haiwan yang tidak diundang itu semakin bertambah.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perjuangannya terhadap kemudahan infrastruktur yang lebih baik kepada penduduk di kawasan DUN yang ditandinginya, Ariss berkata, beliau akan menyarankan agar sebuah jambatan besar dibina bagi kemudahan orang ramai di kawasan Jalan Simpang Lima, Parit Sulong menyeberang untuk ke Tongkang Pecah.

Katanya, ketika ini penduduk mengambil masa lebih setengah jam untuk ke lokasi berkenaan dan sekiranya jambatan itu dibina masa dapat disingkatkan dengan sekurang-kurangnya hanya 10 minit sahaja.

“Dulu pernah peruntukan diluluskan sebanyak RM40 juta untuk membina jambatan itu. Tetapi, perlaksanaannya telah pun ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.

“Jambatan ini satu keperluan dan sangat strategik untuk pembangunan di kawasan ini.

“Masa zaman PH (Pakatan Harapan) selama 22 bulan tidak ada sebarang pembangunan di kawasan ini. Mereka (wakil rakyat) tidak buat apa pun,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk DUN Semerah rayu atasi ancaman haiwan liar