Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Prospek Malaysia secara tentatif optimis kerana ekonomi domestik sebahagian besarnya telah dibuka semula dan sekatan perjalanan tidak mungkin akan dilaksanakan walaupun berdepan gelombang varian Omicron, kata Moody’s Analytics.

Dalam nota penyelidikan ‘Asia Pacific Economic Preview’ hari ini, ia berkata trend geopolitik dilihat memihak kepada Malaysia.

“Ukraine adalah pengekport minyak bunga matahari utama di dunia dan pengimport mempertimbangkan pilihan lain seperti minyak boleh dimakan yang lain seperti minyak sawit untuk mengimbangi kekurangan bekalan.

“Sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, Malaysia akan mendapat manfaat daripada kenaikan harga terutamanya jika ia berjaya mengatasi masalah kekurangan tenaga kerjanya,” katanya.

Moody’s Analytics berkata, sektor semikonduktor yang telah terjejas oleh kekurangan bekalan kini menghadapi masalah lain kerana bahan penting sektor itu kebanyakannya dieksport oleh Rusia dan Ukraine.

Ia berkata, Malaysia telah mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan global untuk eksport elektriknya dan berkemungkinan akan mengatasi kekurangan bekalan tersebut kerana simpanan bahan mentahnya. – MalaysiaGazette