KUALA LUMPUR – Pemain industri pelancongan disaran meneliti kembali strategi perniagaan agar produktiviti dan keuntungan dapat dilipat ganda dengan mengambil kira keadaan semasa yang masih bergelut dengan impak kenaikan kes positif Covid-19.

Ini termasuk melihat semula strategi pemasaran dan penjenamaan produk serta keadaan kewangan dan operasi syarikat agar lebih mampan dalam menghadapi cabaran dan situasi semasa, kata Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Pemain industri juga disaran menggunakan aplikasi digital dengan lebih meluas dalam merangka pelan perniagaan dan promosi produk.

MPC melalui inisiatif Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) membuka pendaftaran untuk Tourism Productivity Nexus Virtual Advisory Clinic atau T-VAC yang merupakan program khidmat nasihat secara atas talian bagi pemain industri pelancongan.

Syarikat yang berminat boleh mendaftar di https://www.eventbrite.com/e/tourism-virtual-advisory-clinic-t-vac-registration-264943983587.

T-VAC menjemput para pemain industri yang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat secara percuma yang meliputi bidang pemasaran dan promosi, pendigitalan perniagaan, pengurusan kewangan, produk dan penjenamaan, operasi perniagaan, dan polisi serta peraturan.

Platform ini digunakan untuk menyalurkan maklumat yang tepat bagi syarikat pelancongan yang berhasrat untuk merangka semula strategi perniagaan bagi meningkatkan produktiviti.

Melalui T-VAC, para pengusaha syarikat pelancongan berpeluang berbincang dengan pakar industri mengenai cabaran yang dihadapi, serta mendapatkan cadangan penyelesaian bagi meningkatkan prestasi, keuntungan, dan produktiviti perniagaan.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul LatifAbu Seman, berkata, kerajaan berharap agar pertumbuhan produktiviti pelancongan dapat dipulihkan pada tahun ini dengan pembukaan semula aktiviti pelancongan domestik.

”Industri pelancongan mengalami penurunan tahap produktiviti terendah pada tahun 2021 jika dibandingkan dengan sektor-sektor ekonomi utama yang lain.

”MPC berharap melalui platform khidmat nasihat T-VAC, pengusaha syarikat pelancongan mempunyai saluran untuk mendapatkan maklumat dan saranan yang berguna dan tepat untuk melancarkan operasi perniagaan,” katanya.

Pengerusi TPN, Rohizam Md Yusoff dalam kenyataan berkata, platform T-VAC masih mengekalkan penggunaan teknologi bagi mendekati para pemain industri tanpa sebarang risiko. TPN berharap T-VAC dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa perniagaan ke tahap yang lebih baik.

”Keadaan berubah dengan cepat dan syarikat pelancongan perlu menyesuaikan operasi perniagaan dengan perkembangan semasa agar produktiviti, prestasi, dan keuntungan dapat ditingkatkan. T-VAC dapat membantu dengan menyalurkan maklumat terkini dan cadangan yang bersesuaian dengan cabaran yang dihadapi perniagaan.”

Di samping T-VAC oleh TPN, Nexus Produktiviti untuk sektor ekonomi utama yang lain juga telah membuka pendaftaran untuk menyertai klinik khidmat nasihat dalam bidang masing-masing. – MalaysiaGazette