Kain rentang Barisan Nasional (BN) mula dipasang menjelang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Melaka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sungai Udang, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 NOVEMBER 2021.

Satu kajian oleh pusat penyelidikan pendapat awam Endeavour-MGC mendapati Barisan Nasional (BN) mendahului undi popular di dalam pilihanraya negeri Johor pada hari Sabtu 12 Mac ini.

Berdasarkan kaji selidik di kalangan 1,068 pengundi berdaftar di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri di Johor dari 09 Februari sehingga 21 Februari, 46% responden menyatakan akan mengundi BN berbanding 29% yang akan mengundi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Perikatan Nasional (PN) berada di tempat ketiga dengan 17% sokongan.

Ini adalah satu perubahan yang marginal sejak rakyat negeri Johor memilih ahli dewan undangan negeri pada Mei 2018. Pada pilihan raya umum ke-14, BN mendapat 39% undi popular manakala PH, yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mendapat 53% sokongan.

Ini bermakna walaupun undi popular BN meningkat sedikit sebanyak 7%, jurang perbezaan di antara BN dan saingan rapatnya, PH, kini adalah 17%.

Tambahan pula, kajian MGC-Endeavour menunjukkan BN mendahului secara signifikan dalam semua segmen pengundi yang utama, kecuali pengundi kaum Cina, mengikut pecahan etnik, umur dan pendapatan isi rumah:

Memandangkan PAS dan Gerakan tidak menjadi parti pilihan pengundi dalam kajian ini, kemerosotan sokongan terhadap PH sebahagian besarnya adalah disebabkan faktor bahawa BERSATU dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lagi bersama dengan gabungan pembangkang seperti pada tahun 2018. Parti-parti baharu seperti MUDA, Pejuang dan Warisan nampaknya tidak berupaya untuk memberi impak di kalangan pengundi.

Penganalisis Politik Endeavour- MGC Dr. Oh Ei Sun berpendapat bahawa walaupun parti-parti baharu itu telah menjadi tajuk utama dalam media nasional sejak kebelakangan ini, mereka masih belum meyakinkan kehadiran mereka di peringkat akar umbi di Johor.

Dengan medan pilihan raya Johor yang agak sesak, parti- parti baharu ini menghadapi kesukaran untuk membuktikan keunggulan mereka dalam jangka masa yang singkat.

Hasil kajian tersebut juga menunjukkan peratusan keluar mengundi mungkin lebih tinggi berbanding pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini dengan 94% responden di kalangan pengundi berdaftar menyatakan mereka akan mengundi dan 93% percaya undi mereka mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Tambahan pula, 74% responden menyatakan keluarga dan rakan-rakan mereka akan pulang ke Johor untuk mengundi pada 12 Mac ini.

Bagaimanapun, Dr. Oh memberi amaran bahawa penambahan peratusan pengundi di bawah 21 tahun serta bilangan pengundi berdaftar secara automatik akan menjadi satu ujian yang agak mencabar kepada peratusan keluar mengundi. Ini adalah kerana kesediaan pengundi baharu ini untuk mengundi masih belum dapat ditentukan.

Selain itu, 64% responden kajian Endeavour-MGC berumur 40 tahun dan ke atas menyatakan faktor parti mengatasi calon sebagai pertimbangan utama apabila membuat keputusan ketika mengundi dalam pilihan raya negeri Johor akan datang.

Angka ini agak berbeza di kalangan responden di bawah umur 40 tahun di mana ia menurun kepada 55%. Ini menunjukkan pengundi muda mengutamakan ciri-ciri dan kualiti individu yang bertanding sebagai calon.

Dr. Oh berpendapat isu sosioekonomi seperti mewujudkan peluang pekerjaan, pergerakan merentas sempadan dengan Singapura serta rekod pencapaian parti dan calon juga memainkan peranan penting dalam pilihan pengundi.

Berdasarkan hasil kajian kuantitatif tersebut, UMNO-BN dijangka mengekalkan kesemua 19 kerusi yang dimenanginya pada tahun 2018: Buloh Kasap, Sungai Balang, Sri Medan, Semarang, Parit Raja, Rengit, Machap, Layang-Layang, Kahang, Endau, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tanjung Surat, Benut dan Kukup.

Selain itu, BN juga dijangka merampas Semerah, Pemanis, Paloh, Senggarang, Tenang, Bukit Kepong, Pekan Nanas, Bukit Naning, Mahkota, Serom, Bukit Permai dan Pulai Sebatang: iaitu kerusi-kerusi majoriti dan pluraliti Melayu di mana gabungan tersebut kalah dengan undi popular kurang daripad 14% pada PRU14.

Ini akan memberi BN 19 kerusi yang dimenanginya pada 2018 dengan tambahan 12 lagi kerusi untuk memenangi 31 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi dan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

PH dijangka mengekalkan 12 kerusi yang dimenanginya dengan majoriti yang tinggi pada 2018: Bentayan, Skudai, Senai, Mengkibol, Puteri Wangsa, Penggaram, Bukit Batu, Perling, Stulang, Simpang Jeram, Johor Jaya dan Jementah; manakala PAS dan Perikatan Nasional mengekalkan Bukit Pasir.

Persaingan sengit dijangka di baki 12 kerusi di antara parti-parti yang bertanding yang mampu mengubah keputusan akhir pilihan raya tersebut: Bekok, Kemelah, Kempas, Kota Iskandar, Maharani, Yong Peng, Tangkak, Parit Yaani, Larkin, Permas, Tiram dan Gambir.

Di antara keputusan utama Pilihan Raya Negeri Johor yang dijangka termasuk:

• PH walaupun masih menguasai majoriti sokongan kaum Cina, tidak mampu menawan kebanyakan kerusi campuran tanpa sokongan undi daripada kaum Melayu yang sebelum ini diperoleh melalui BERSATU

• Warisan dan Pejuang tidak dapat memberi impak kepada politik pilihan raya di Semenanjung Malaysia

• MUDA mempunyai peluang kemenangan jika ia adalah sebahagian daripada PH dan diberi peluang bertanding di beberapa kubu kuat PH

• PN / BERSATU mempunyai sokongan kaum Melayu yang agak signifikan tetapi hampir tiada sokongan daripada pengundi bukan Melayu, terutamanya kaum Cina

Oleh yang demikian, Endeavour-MGC berpendapat PH sedang berdepan dengan cabaran yang sangat serius, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangkakan dalam 6 hingga 12 bulan akan datang.

Ini lebih-lebih lagi jika PAS dan BERSATU memutuskan untuk bergabung dengan UMNO dan menerima hakikat bahawa UMNO akan memimpin gabungan tersebut pada PRU15 nanti.

Sejak kajian tersebut selesai, beberapa isu utama telah timbul yang mungkin mengubah persepsi pengundi terhadap BN, iaitu pengendalian isu banjir baru-baru ini serta pendedahan yang dikaitkan dengan kes mahkamah yang sedang berjalan di New York, Amerika Syarikat.

Dr. Oh Ei Sun

Penganalisis Politik Endeavour- MGC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast