Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Keputusan rasmi penempatan bagi 4,828 calon Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 menerusi pengambilan khas secara one-off akan diumumkan pada 18 Mac ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, semua guru berkenaan akan mula melaporkan diri di Kementerian Pendidikan (KPM) pada 4 April 2022.

“Semakan penempatan boleh dibuat melalui portal e-Graduan KPM di pautan https://egraduan.moe.gov.my ,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambah Radzi, pelaksanaan inisiatif pengambilan khas guru secara one-off yang melibatkan keseluruhan 18,702 orang itu antara usaha kerajaan menangani isu kekurangan guru yang telah berlarutan sekian lama.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan kepada semua guru baharu yang akan memulakan tugas.

“Tahniah. Selamat maju jaya dan selamat bertugas kepada semua guru baharu yang akan memulakan tugas. Laksanakanlah amanah sebagai guru dengan bekerja seikhlas hati demi kecemerlangan anak-anak generasi pewaris negara,”ujarnya,.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata,Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru ‘one-off’ dalam masa terdekat.

Terdahulu, seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara one-off yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga sudah melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac ini. – MalaysiaGazette