Dr. Hamidin Abdul Hamid . foto AFFAN FAUZI.

MERSING – Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau di sini  dilihat kerusi kontroversi yang mencuri tumpuan semua dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr. Hamidin Abdul Hamid berpendirian kerusi itu kali ini menyaksikan persaingan melibatkan seorang calon berpengalaman luas dalam kancah politik tanahair.

Calon sedia ada yang diturunkan oleh Perikatan Nasional (PN)  iaitu Alwiyah Talib sebelum ini pernah memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum melompat kepada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau tidak merasakan ramai calon yang melompat parti seperti Alwiyah dikekalkan oleh parti bertanding dan berpendapat Alwiyah dikekalkan oleh Bersatu kerana perkhidmatannya dan penerimaan penduduk setempat sangat tinggi terhadapnya sekaligus menjadikannya aset kepada PN.

“Tetapi pada masa yang sama beliau berdepan dengan cabaran kekuatan jentera UMNO sebagai sebuah parti yang mana UMNO meletakkan ketua bahagiannya, Youzaimi Mohd Yusof di Mersing yang tidak merupakan pilihan kepada pengundi.

“Tetapi kekuatan UMNO sebagai sebuah parti lama berusia 76 tahun dan mempunyai jentera yang kukuh, teratur dan gerak kerja yang kemas menjadikan itu cabaran sengit yang perlu dilalui Alwiyah.

“Jika turun ke bawah dan hasil penilaian serta temubual kami di lapangan menunjukkan bahawa perkembangan pengundi walaupun berada di luar bandar mereka merasai dan menghargai perkhidmatan Alwiyah,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamidin menambah, ramai pengundi juga memperkatakan mereka akan memilih calon berbanding dengan parti pada PRN kali ini.

Menurutnya, setelah mengambil kira sentimen terbaharu pengundi, beliau melihat bahawa Alwiyah mempunyai kelebihan mempertahankan kerusi itu kali ini.

“Sekiranya beliau berjaya dan momentum ini berjaya dikekalkan, maka saya merasakan ia satu tamparan hebat kepada UMNO.

“Saya ada dua sebab menyokong kenyataan ini iaitu yang pertama di Johor Timur ini dikenali sebagai kubu kuat UMNO selama ini dan zon ini tak pernah ditembusi mana-mana parti walaupun contohnya angin perubahan besar berlaku pada 2018 tetapi UMNO dan BN kukuh di kawasan ini.

“Jadi bermaksud seorang wanita yang mempunyai perkhidmatan yang baik jika berjaya mengubah fenomena itu dan saya rasa itu menunjukkan politik matang itu mampu untuk memberi kesan kepada pengundi,” ujarnya.

Tetapi pada masa yang sama juga katanya, UMNO seharusnya menerima hakikat pengundi ketika ini tidak lagi melihat parti semata-mata malahan pengundi juga sudah cerdik menilai kemampuan, kebijaksanaan calon dan kapasiti calon.

Ia merupakan peringatan kepada UMNO apabila berdepan dengan PRU ke-15 nanti. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.