Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail

SHAH ALAM – Pembangkang di Selangor mencadangkan agar kerajaan negeri mengangkat semula projek Bandar Terusan, yang sepatutnya dilaksana pada akhir 2007 bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) berkata projek berkenaan adalah pembinaan satu terusan besar sepanjang 17 kilometer yang menghubungkan dua tasik di Daerah Petaling dan Kuala Langat.

“Jika projek ini berjaya disiapkan, terusan besar berkenaan mampu menyimpan ratusan juta liter air limpahan dan banjir kilat yang berlaku seperti hari ini dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif Bandar Terusan yang diilhamkan daripada pembinaan terusan di Belanda, dapat meminimumkan sepenuhnya impak banjir di kawasan Lembah Klang dalam jangka masa 100 tahun akan datang.

“Inilah kelebihan yang ada pada kerajaan dahulu iaitu kita mampu merancang dan melaksanakan bukan sahaja untuk jangka masa pendek, malah hasilnya dapat dirasai oleh generasi yang akan datang,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sidang DUN di sini, hari ini.

Rizam turut meluahkan rasa terkilan terhadap kerajaan negeri yang tidak membuat sebarang perancangan awal bagi membantu kerajaan pusat menangani masalah banjir teruk yang melanda negeri ini sebelum ini, walaupun enam kali amaran cuaca hujan lebat di Selangor dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Sidang DUN bersambung esok.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast