Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-15 berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kuantan bermula 17 hingga 20 Mac ini.

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraikan seramai 3,556 graduan dalam Majlis Konvokesyen UMP kali ke-15 yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula esok sehingga  20 Mac ini di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, graduan terdiri yang daripada 234 graduan doktor falsafah dan sarjana, 2,364 graduan sarjana muda dan diploma serta 958 graduan UMP Advanced yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Jelasnya, Pro Canselor UMP, Tan Sri Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor akan hadir menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada seramai 533 penerima ijazah sarjana dan kedoktoran pada sesi pertama.

“Seramai 563 graduan pada sesi kedua, pada 18 Mac nanti bagi sesi ketiga melibatkan seramai 506 graduan, pada sesi keempat seramai 534, dan sesi kelima melibatkan seramai 483 graduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin akan hadir pada hari Ahad iaitu sesi keenam melibatkan seramai 510 graduan UMP Advanced.

“Mereka akan menerima ijazah Master Eksekutif pada sebelah pagi manakala pada sebelah petang iaitu sesi terakhir seramai 448 orang graduan UMP Advanced akan menerima ijazah Bacelor Eksekutif dan Diploma Professional,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 45 orang graduan Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi bakal bergraduasi hasil program kerjasama pusat pengajian sepanjang hayat, UMP Advanced dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi.

Untuk rekod, UMP menganjurkan tiga kali kovensyen pada tahun ini iaitu pada Mac, Ogos dan November nanti untuk meraikan graduan tahun 2020 sehingga 2021.

Sehingga kini, UMP telah melahirkan seramai 33,573 graduan terdiri daripada pelbagai bidang sejak 2006. – MalaysiaGazette