Foto: Bomba

JOHOR BAHRU – Seramai 18 individu daripada lima buah keluarga di Renggam dekat Kluang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jubli Renggam selepas kawasan rumah mereka dilanda banjir kilat petang tadi.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian yang melibatkan penduduk di Jalan Senda dan Jalan Damai itu pada 5 petang tadi.

Beliau berkata, seramai enam anggota bomba dibantu enam anggota polis menjalankan operasi memindahkan kesemua mangsa yang terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita, berusia di antara 20 hingga 30 tahun ke PPS berkenaan.

“Terdapat kawasan paras air naik kira-kira satu meter dan setakat pukul 6 petang tadi air dilihat semakin surut. Saya turut dimaklumkan bahawa kawasan itu merupakan kawasan banjir kilat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau, bagaimanapun, berkata pemantauan di lokasi kejadian masih dijalankan. – Bernama