KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) tidak akan menasihati Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dibubarkan sehingga tamat tempoh pada tahun 2023.
Majlis Presiden PH berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih terkesan akibat banjir besar, pandemik Covid-19, pendapatan yang berkurangan serta kos sara hidup yang meningkat mendadak.
“Majlis Presiden menegaskan bahawa fokus segala usaha pada waktu ini harus ke arah menyelamatkan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi,” katanya menerusi kenyataan bersama antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) hangat diperkatakan pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini dengan beberapa pihak mahu ia disegerakan.
Malah pada Perhimpunan Agung UMNO pada hari ini, majoriti ahli Pergerakan Pemuda mahu PRU15 diadakan segera. – MalaysiaGazette
Selangor dan Negeri Sembilan goyah tu..anytime runtuh..tu yg bg mcm2 alasan…skrg ni duk bagi gaji bagi gaji buta jaa kat korang yer