Amyza Jamaludin yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan Melayu) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 di Serdang, Selangor.

SERDANG – “Saya teringin nak jumpa PM (Perdana Menteri) untuk meluah nasib Orang Asli macam saya yang susah nak belajar, saya nak kongsi cerita kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang capaian internet susah nak dapat.”

Itu luahan Amyza Jamaludin, 25, mengenang nasibnya selepas terpaksa menumpang rumah neneknya di bandar untuk mendapatkan akses internet.

Perkara itu dikongsikannya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas Sesi Kedua Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-45, di sini, hari ini.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan Melayu) itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, belajar dari rumah menjadi cabaran besar kerana tiada capaian internet di perkampungannya.

Tambah graduan Orang Asli dari Maran, Pahang itu, masalah internet menyebabkan beberapa kali beliau gagal menghadiri kelas dalam talian sehingga ketinggalan dalam pelajaran.

“Susah sangat nak belajar bila tiada internet, banyak kali juga tak dapat nak masuk kelas, terpaksa tumpang rumah nenek atau kena pergi kawasan bandar baru boleh dapat internet,” katanya.

Meskipun begitu, beliau tidak pernah memberi sebarang alasan malah menjadikan halangan itu sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan.

“Walau apa jua kesukaran, jatuh dan bangun, teruslah mengejar impian untuk merasai nikmat kejayaan pada masa hadapan,” ujarnya.

Justeru, Amyza menasihatkan pelajar yang masih berjuang dalam dunia akademik untuk merancang persiapan awal daripada segala sudut agar kejayaan yang sama dapat diraih. – MalaysiaGazette