Muhammad Idzam Jaafar

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan yang disyaki membunuh dan membakar seorang wanita di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, disambung reman selama enam hari selepas tempoh tahanannya itu tamat pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek lelaki berusia 30-an itu disambung reman bermula 20 Mac lalu sehingga 25 Mac ini.

“Selepas reman pertama tamat polis melanjutkan tempoh reman terhadap Orang Kena Tahan itu sekali lagi selama enam hari lagi bermula Ahad lalu hingga Jumaat ini untuk membantu melengkapkan kertas siasatan polis dalam kes ini.

“Kertas siasatan kini sudah 95 peratus selesai, dan kertas siasatan lengkap akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kuala Lumpur pada hari ini, esok ataupun lusa untuk arahan pertuduhan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media Program Derma Darah sempena Sambutan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, pagi ini.

Sebelum ini, media melaporkan mayat penyelia kedai buku berusia 25 tahun ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak yang memadamkan kebakaran bengkel pertanian kemahiran hidup.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan kes yang diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, polis telah merakam keterangan daripada 37 individu untuk membantu siasatan kes bunuh itu.

Menurut Muhammad Idzam, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) ke atas mayat mangsa wanita itu.

Sementara itu, Muhammad Idzam memberitahu, Program Derma Darah merupakan inisiatif untuk menambah stok simpanan darah bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa pada masa akan datang.

“Lagipun jika Pusat Darah Negara memerlukan bantuan kami dalam mendapatkan darah, kami sedia bekerjasama menyediakan program derma darah membabitkan pegawai dan anggota kami di IPD Cheras.

“Derma darah semestinya suatu aktiviti amal yang menambah kesihatan kita sendiri dan juga insan lain yang memerlukan, dan inisiatif murni ini akan terus diamalkan apabila diperlukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette