Orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan ujian saringan susulan kenaikan mendadak jumlah kes positif Covid-19 sejak beberapa hari yang lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Klinik Anda Kota Damansara, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 32,561 kes kes sembuh direkodkan semalam dan jumlah tersebut melebihi 11,078 kes positif baharu dalam tempoh yang sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini kes sembuh secara keseluruhan dalam negara adalah 3,745,229.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak 166 daripada 21,483 jangkitan baharu semalam adalah kategori 3, 4 dan 5.

“Sebanyak 52 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 64 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“51 kes telah menerima dos penggalak, 91 kes berumur 60 tahun dan ke atas, 96 kes mempunyai komorbid dan dua kes merupakan ibu mengandung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu Dr. Noor Hisham menambah, sebanyak 339 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 209,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, sebanyak empat lagi kluster baharu dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan  (KKM) semalam.

“Jumlah terkini kluster adalah 6,918, yang telah tamat sebanyak 6,634 dan kluster aktif pula 284,” katanya.

Jelas beliau, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 dalam negara kini adalah 0.91.- MalaysiaGazette