Tan Sri Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia komitmen untuk menggunakan akta-akta sedia ada untuk meneruskan siasatan kes kes jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sebaik mungkin dengan menggunakan akta-akta sedia ada yang masih berkuatkuasa.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil maklum dan menerima keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac 2022 yang menolak usul Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melanjutkan tempoh kuatkuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), selepas 31 Julai 2022.

“Keputusan berkenaan bermakna SOSMA tidak lagi akan memperuntukkan kuasa penahanan selama 28 hari ke atas individu-individu yang ditahan bagi siasatan melibatkan kes-kes keselamatan bersifat kompleks,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tambah beliau, antaranya kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan (Kesalahan Terhadap Negara); Kesalahan Di Bawah Bab VIA Kanun Keseksaan (Kesalahan Berkaitan Keganasan); Kesalahan di Bawah Bab VIB Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang); Kesalahan di bawah Bab IIIa Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015.

Katanya, bagi kes-kes melibatkan kesalahan di bawah SOSMA yang disiasat selepas 31 Julai 2022, PDRM akan menggunakan peruntukan di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa seperti Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah. – MalaysiaGazette