KUALA LUMPUR – Usahawan dan peniaga luar bandar boleh menyalurkan isu dan cabaran berkenaan peraturan yang dihadapi secara langsung melalui program Malaysia Mudah atau #MyMudah.
Platform #MyMudah juga boleh digunakan oleh mereka bagi berkongsi apa jua masalah yang dihadapi yang mana ia bertindak untuk memudahcara penyelesaian dengan pihak yang berwajib.
Antaranya masalah-masalah berkaitan usahawan-usahawan kecil, capaian internet, akses kepada fasiliti kesihatan, dan pembelajaran.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, aduan dan isu yang diterima melalui program #MyMudah melangkaui perihal yang hanya berkaitan dengan kesan buruk Covid-19 ke atas industri dan ekonomi.
Malah, ia juga merangkumi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri dan orang awam sekian lama.
”Masalah-masalah yang dihadapi oleh usahawan dan peniaga luar bandar memerlukan pendekatan Keseluruhan Kerajaan. Setiap pemegang taruh dan pihak berkepentingan perlu berunding dan berbincang mengenai tindakan yang sewajarnya agar para usahawan dan peniaga boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan produktif dalam menjalani aktiviti harian,” katanya.
Tambahnya, peranan #MyMudah melangkaui semakan peraturan dan penambahbaikan proses dalaman sesebuah organisasi, malah ia meliputi ruang lingkup yang lebih besar merangkumi pelbagai pihak dalam memudahcara intervensi isu.
Sebagai contoh, dalam isu pembukaan taska yang dimudahcara oleh MPC, penyelesaian memerlukan kerjasama dari beberapa kementerian serta agensi kerajaan. Skop #MyMudah lebih besar kerana ia meliputi keseluruhan rantaian nilai proses. – MalaysiaGazette