KUALA LUMPUR – Institusi perbankan Islam di Malaysia meluluskan bantuan kewangan tidak kurang daripada RM980 bilion dalam pelbagai bentuk setakat Disember 2021.

Menurut Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), bantuan kewangan itu diberikan dalam bentuk antaranya penangguhan pembiayaan, pengurangan bayaran bulanan pembiayaan dan penstrukturan semula pembiayaan kepada pelanggan bank sama ada persendirian atau perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan banjir.

Ia juga menjelaskan, selain itu, dianggarkan sebanyak RM1.3 bilion telah disalurkan melalui sumbangan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan lain-lain bantuan oleh bank-bank ahli AIBIM.

“Keseluruhan bantuan ini telah memberi manfaat kepada sebanyak 2.7 juta pelanggan dan rakyat Malaysia. Ini jelas menunjukkan bank-bank ahli AIBIM peka dalam menjalankan tanggungjawab korporat mereka dan memainkan peranan penting dalam mencapai objektif pemulihan ekonomi negara,” menurut AIBIM dalam kenyataan pada Khamis.

Pengarah Eksekutif AIBIM, Ratna Sha’erah Kamaludin berkata, komitmen daripada bank-bank ahli AIBIM telah ditunjukkan melalui data yang dikumpulkan oleh AIBIM untuk 2021.

“Sumbangan dalam bentuk zakat pula dianggarkan sebanyak RM36 juta bagi tempoh Oktober 2020 hingga September 2021 yang telah disalurkan oleh institusi perbankan Islam,” katanya.

AIBIM menekankan bahawa pihaknya serta bank-bank ahlinya terus komited dan proaktif dalam membantu dan menyediakan sokongan yang berterusan kepada pelanggan bagi mengharungi cabaran sejak permulaan pandemik Covid-19 sehingga sekarang.

Komitmen itu merupakan antara langkah dan usaha untuk menyokong pemulihan ekonomi negara dalam peralihan ke endemik, tambahnya. – MalaysiaGazette