Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off.

Pengambilan itu bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM termasuk di Sarawak, kata Timbalan Menteri II, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata, urusan pengambilan PPP itu adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik.

Katanya, sehingga 28 Mac lalu, seramai 13,760 calon telah berjaya dalam temu duga SPP dan ditawarkan lantikan tetap PPP DG41.

“Sehingga 28 Mac lalu juga, 2,582 guru telah ditempatkan di Sarawak dengan seramai 794 daripadanya adalah guru kelahiran negeri itu.

“Kita yakin, pengambilan guru secara one-off ini dapat mengatasi masalah kekurangan guru di seluruh negara khususnya di Sarawak,” katanya di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Menurut Mohamad, KPM akan terus meneliti dan berbincang dengan agensi pusat bagi mencari kaedah serta pendekatan terbaik bagi mengisi lebih banyak kekosongan guru dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast