Polis menahan empat individu yang menjalankan aktiviti pinjaman tanpa lesen di Bukit Jalil semalam.

KUALA LUMPUR – Ekoran aduan seorang kakitangan kerajaan diugut selepas membuat pinjaman, polis telah menahan empat suspek yang dikatakan terlibat dalam sindiket ah long di Bukit Jalil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pada 18 Mac lalu, pengadu telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM2,000 secara dalam talian.

“Setelah mendapat pinjaman yang diberikan, pengadu tidak mampu untuk membuat bayaran balik disebabkan kadar bunga pinjaman yang tinggi.

“Akibatnya, keluarga pengadu telah diugut akan dicederakan melalui beberapa panggilan sekiranya pengadu gagal membayar hutang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru sepasukan polis dari Bahagian Risikan/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil lbu Pejabat Daerah Wangsa Maju berjaya menahan empat suspek yang didakwa terlibat.

Mohd Mahidisham berkata, tangkapan tersebut dilakukan semalam ketika pihak polis membuat serbuan di sebuah premis di Bandar Bukit Jalil.

Keempat suspek merupakan lelaki warga tempatanĀ  berusia di antara 18 tahun hingga 25 tahun dan pihak berkuasa juga berjaya merampas 13 Unit telefon bimbit, sembilan keping telefon bimbit dan sembilan keping kad bank.

Kesemua tangkapan ditahan reman sehingga 31 Mac 2022 untuk siasatan lanjut, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Mahidisham, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang kerana menjalankan aktiviti pinjaman tanpa lesen dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana memberikan ancaman atau ugutan jenayah.

“Siasatan awal juga mendapati kesemua tangkapan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan sindiket iniĀ  telah menjalankan aktiviti ah long selama lebih kurang tiga hingga empat bulan di sekitar Kuala Lumpur.

“Kesemua ahli sindiket bekerja dengan tawaran gaji sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 sebulan” ujarnya.- MalaysiaGazette