Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Penularan wabak Covid-19 telah merencatkan industri pelancongan di Malaysia, malah seluruh dunia khususnya.

Justeru, dalam usaha membantu industri itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah membangunkan Pelan Pemulihan Industri Pelancongan dan Kebudayaan 2020 bagi membantu, memulih dan merancakkannya kembali.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelan itu dibangunkan hasil daripada penelitian dan pelbagai sesi libat urus dengan pemegang taruh termasuk penggiat industri.

Ia katanya, mengandungi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk industri berkenaan kembali bangkit meliputi tiga fasa utama iaitu pembukaan semula, pemulihan dan daya tahan.

“Apabila aktiviti industri pelancongan negara terhenti sepenuhnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan telah memulakan langkah awal dengan menghulurkan pelbagai bantuan dan insentif bagi meringankan beban penggiat industri ini secara khusus dan rakyat yang hilang punca pendapatan.

“Antara insentif diambil ialah bantuan tunai, skim pembiayaan mudah, program subsidi upah agar majikan tidak memberhentikan pekerja dan pelaksanaan moratorium untuk pelbagai jenis pinjaman,” katanya di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Menurut Nancy, pada tahun 2020 dan 2021, MOTAC telah memperuntukkan RM61juta bagi penyaluran bantuan kewangan kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar dengan kementeriannya iaitu syarikat dan agensi pelancongan (TOBTAB), ejen Syarikat Malaysia My Second Home (MM2H), pengusaha inap desa, pemandu pelancong dan pengusaha spa serta pusat urut kaki.

Pada masa sama, MOTAC turut melanjutkan tempoh kelonggaran hal berkaitan fi lesen dan kompaun kepada TOBTAB dan pemandu pelancong berlesen bagi membantu mereka.

“Antaranya, kelonggaran berkaitan kompaun, pengecualian fi kepada TOBTAB dan pemandu pelancong serta kelonggaran syarat lesen kepada TOBTAB. Kelonggaran ini diberikan sehingga Jun 2022.

“Elemen utama untuk industri pelancongan memulakan pemulihan adalah pergerakan dan kebenaran untuk aktiviti ini dijalankan semula.

“Oleh itu, MOTAC telah berperanan mempersiapkan agar ia dibenarkan bagi memberi ruang untuk penggiat industri menjana pendapatan semula,” katanya.

Menurut beliau, MOTAC telah membantu membangunkan SOP untuk pembukaan semula aktiviti industri pelancongan dalam negara, seterusnya memberi tumpuan sepenuhnya bagi sektor pelancongan domestik.

Katanya, ia bermula dengan langkah kecil untuk kebenaran aktiviti pelancongan dalam negeri sehinggalah kebenaran aktiviti ini secara rentas negeri. – MalaysiaGazette