MELAKA – “Dari belum ada anak sampai dah anak dua, rumah pertama yang ditunggu-tunggu masih belum siap, jadi kerajaan tolonglah pandang nasib kami rakyat yang hidup kais pagi makan pagi ini,”.

Itu diluahkan Nor Azwani Lassim, 30, yang merupakan antara 255 pemohon penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Klebang, di sini, yang terbengkalai hampir empat tahun lalu sekaligus memusnahkan impian mendiami rumah yang lebih selesa.

Menurut peniaga nasi lemak itu, sejak mendapat tahu namanya layak menyewa rumah berkenaan yang sepatutnya siap pada Oktober 2018, dia saban hari berulang alik untuk melihat ‘syurga’ dunianya itu.

Nor Azwani Lassim

“Ini adalah rumah pertama impian saya dan suami selepas sekian lama tinggal di rumah pusaka keluarga di Klebang Kechil, namun sedih bila kenangkan ia masih terbengkalai sehingga ini.

“Selepas ia terbengkalai, hampir setiap hari saya akan datang ke sini dengan harapan projek diteruskan namun hampa kerana saya tidak mampu menyewa rumah lain yang mahal sehingga RM800 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi bakal penyewa, Zulkifli Mohamed, 55, berkata, dua blok kediaman 10 dan 14 tingkat itu sudah terbengkalai selama empat era pemerintahan kerajaan negeri namun masih gagal disiapkan sehingga kini.

Zulkifli Mohamed

“Memang sedih kerana inilah rumah pertama saya yang sudah hampir bergelar warga emas, itu pun masih gagal disiapkan sejak pembinaan bermula pada 2016 sehingga kini.

“Anak-anak empat orang pun semua dah besar, umur antara 10 hingga 20 tahun jadi memang kami sekeluarga amat memerlukan rumah ini,” rayunya lagi.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan yang meluangkan masa selama hampir satu jam meninjau masalah itu berkata, projek berkenaan terbengkalai kerana kontraktor dilantik mengalami masalah untuk meneruskan projek.

“Bagaimanapun kontraktor baharu telah dilantik untuk meneruskan projek PPR yang sudah 90 peratus siap ini dan saya jangka kerja-kerja tapak akan bermula selewat-lewatnya Mei ini.

Datuk Zaidi Attan

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sudah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM16 juta daripada Kementerian Kewangan untuk meneruskan projek ini,” katanya.

Tambahnya, jika semuanya berjalan lancar dan kontraktor baharu dilantik tidak mempunyai masalah, PPR Klebang dijangka mampu disiapkan dalam tempoh setahun pada Mei tahun hadapan. – Malaysiagazette