Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memulakan prosiding berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera pada pertengahan April ini.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, pada 21 September lalu, melalui satu jawapan di Dewan Rakyat, kerajaan telah menyatakan aplikasi MySejahtera bermula sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan telah tamat tempoh diberikan selama satu tahun pada 31 Mac 2021.

Menurut beliau, berikutan itu kerajaan telah memutuskan untuk membuat pembayaran bagi penggunaan aplikasi Mysejahtera bermula pada 1 April 2021.

“Isu aplikasi MySejahtera turut terkandung dalam Laporan PAC berhubung perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia yang dibentangkan di Parlimen pada 1 Disember 2021.

“Ketika itu, PAC merumuskan konsep CSR telah digunakan sebagai suatu mekanisma untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya.

“Sehubungan itu, PAC turut mengesyorkan kerajaan tidak harus membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera kerana pembangunannya adalah bersifat CSR,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata Kah Woh, kerajaan perlu mengambil alih pengoperasian aplikasi MySejahtera tanpa melibatkan kos tambahan, memandangkan ia telah menjadi sebahagian daripada sistem kesihatan negara.

Namun, katanya, pada 8 Mac lalu, jawatankuasa ini telah mengadakan prosiding Tindakan Susulan Pegawai Pengawal Terhadap Syor bagi Laporan PAC berkenaan. Dalam prosiding tersebut, kata beliau, PAC telah dimaklumkan antara lain, bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 November 2021 bersetuju memberikan kelulusan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melantik syarikat MYSJ Sdn. Bhd. secara rundingan terus bagi tujuan memurnikan semula proses perolehan aplikasi MySejahtera.

“PAC dimaklumkan bahawa KKM perlu melaksanakan due diligence terhadap syarikat yang hendak dilantik, tetapi pada masa sama, PAC telah membangkitkan persoalan bagaimana pemilikan aplikasi MySejahtera dipindah daripada KPISoft Malaysia Sdn. Bhd. kepada MYSJ Sdn. Bhd.

“Kita berpandangan bahawa pelantikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat baharu tidak harus berlaku,” katanya.

Kata beliau lagi, laporan tindakan susulan PAC itu kemudian telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Mac lalu dan isu itu mendapat perhatian meluas rakyat sepanjang minggu lepas.

“PAC berpandangan isu berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera ini perlu dijelaskan secara telus di hadapan jawatankuasa ini sebagai sebuah jawatankuasa nonpartisan demi kepentingan rakyat dan negara, khasnya pelantikan sebuah syarikat swasta sebagai pengendali aplikasi MySejahtera secara rundingan terus serta kos yang terlibat.

“Tambahan pula, ia membabitkan isu berhubung keselamatan data peribadi rakyat, sekali gus mengelakkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas maklumat itu.

“Maka, adalah amat wajar untuk PAC mengadakan prosiding berhubung isu aplikasi MySejahtera selaras dengan punca kuasa jawatankuasa ini di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang jelas menyebut “…apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa…”,” katanya.

Selain itu, menurut Kah Woh lagi, PAC juga akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 dalam mengendalikan prosiding itu.

PAC akan memanggil Kementerian Kewangan, KKM dan Jabatan Perdana Menteri untuk prosiding ini dan sebagai permulaaan, dua saksi utama akan dipanggil iaitu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk hadir di hadapan PAC.

“Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette