Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad mengalu-alukan rundingan baharu mengenai memorandum persefahaman (MoU) antara negara itu dengan Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. N. Sukumaran berkata, Bangladesh sedia untuk mengadakan perbincangan semula setelah tiada perkembangan lanjut mengenai perbincangan.

Katanya, Imran menyebut bahawa beliau mengalu-alukan sebarang jenis rundingan baharu antara kedua-dua negara tanpa menjejaskan kedaulatan dan kuasa negara dalam proses membuat keputusan.

“Beliau juga mencadangkan agar Bangladesh dilayan seperti mana-mana 14 negara sumber lain dalam proses pengambilan ke Malaysia.

“Mengapa Bangladesh harus dilayan berbeza dengan syarat seperti 25 agensi Bangladesh dan 250 sub ejen yang mana kerajaan Bangladesh tidak diberi kuasa untuk memilih ejen pengambilan berdaftar jika diperlukan oleh Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat Imran dalam satu perjumpaan antara PAPSMA, Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) dan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) di sebuah hotel di ibu negara pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, Sukumaran berkata, Bangladesh masih menunggu jawapan daripada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengenai surat balas pada 18 Januari lalu yang menggesa Malaysia memastikan proses pemilihan Agensi Pengambilan Bangladesh (BRA) secara telus dan adil, serta menolak sebarang bentuk monopoli atau sindiket.

“Cadangan ini tidak disenaraikan dalam MoU yang ditandatangani oleh kedua-dua negara dan oleh itu Imran mencadangkan mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama yang terdiri daripada pegawai daripada kedua-dua kerajaan diadakan,” ujarnya.

Ia bagi membincangkan perkara yang berkaitan dengan MoU tetapi tidak digariskan dalam memorandum tersebut yang sepatutnya untuk memulakan dan mempercepatkan proses pekerja ke Malaysia.

Dalam pada itu, Sukumaran berkata, PAPSMA dihujani dengan pelbagai persoalan dan pertanyaan berkaitan dengan kekurangan pekerja asing dalam industri pelbagai sektor di negara ini.

“Semua sektor utama menghadapi kekurangan pekerja yang teruk dan banyak yang kehilangan perniagaan bernilai jutaan ringgit akibat kelewatan pengambilan pekerja asing ke negara ini.

“Ramai pelanggan kami yang telah memohon pekerja asing sejak awal bulan ini, mereka tidak mempunyai kata putus mengenai tempoh masa yang mereka perlu tunggu untuk kelulusan permohonan mereka,” jelas Sukumaran.

Sementara itu, beliau memberitahu ramai ahli-ahli pertubuhan terjelas teruk dengan kelewatan untuk membekalkan pekerja asing dalam industri.

Kata Sukumaran, ramai pemain-pemain industri yang hilang perniagaan kerana isu ini.

“Industri tidak dapat mengeluarkan produk mereka dan ramai yang telah menutup perniagaan. Ini boleh mengakibatkan gangguan kepada industri besar dan juga ekonomi.

“Malah ini akan mengakibatkan pengurangan pekerja, sekali gus membawa kerugian yang besat kepada negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tiada perkembangan terkini mengenai perjanjian untuk membuka semula pasaran buruh antara Malaysia dan Bangladesh setelah empat bulan MoU itu ditandatangani.

Perbincangan dua hala selepas pemeteraian memorandum persefahaman itu terhenti sejak Januari. – MalaysiaGazette