Istana Kehakiman di Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2019

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan terakhir bekas peguam, Datuk V.K Lingam membatalkan keputusan Lembaga Tatatertib mengeluarkan namanya daripada Senarai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya atas dakwaan salah laku.

Lingam pernah dituduh mencampuri urusan pelantikan hakim 21 tahun lepas menerusi klip video.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Lingam sebelum ini.

Kata Tengku Maimun, mahkamah tertinggi juga tidak perlu campur tangan dengan keputusan itu.

Lingam turut diarahkan membayar RM30,000 kepada Majlis Peguam.

Tun Tengku Maimun Tuan Mat

Tengku Maimun yang membaca keputusan itu berkata, tuduhan mencampuri urusan pelantikan hakim yang dilakukan Lingam merupakan salah laku, tidak kira sama ada ia  dilakukan secara sendirian ataupun berkumpulan.

“Sebenarnya perayu tidak dapat buktikan keterangan bercanggah dengan Loh Gwo Burne yang mengaku mendengar perbualan perayu cuba mencampuri urusan pelantikan hakim.

“Isu penting di sini ialah dapatan telah dicapai bahawa perayu mencampuri urusan badan kehakiman tanpa mengira perbualan itu melibatkan pelantikan hakim yang mana,” katanya yang bersidang bersama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Kata beliau, panel tidak bersetuju dengan hujah perayu bahawa video yang dikemukakan pada prosiding lembaga tatatertib bukan video asli kerana telah dimuat turun daripada sebuah portal berita.

Pada Julai tahun lepas Mahkamah Rayuan berpuas hati rayuan Lingam tiada merit dan berpendapat tidak berlaku pelanggaran keadilan semula jadi terhadapnya selepas belas peguam itu mendakwa lembaga disiplin telah mengenakan hukuman tanpa mendengar daripada pihaknya.

Pada Mei 2018, Lingam memohon rayuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Lembaga Tatatertib itu mengeluarkan namanya daripada Senarai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Dalam saman pemulanya pada 6 November 2015, Lingam memohon mahkamah membatalkan keputusan Lembaga Tatatertib Badan Peguam yang mengesahkan dapatan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib mendapati beliau mencampuri atau mengganggu dan mempengaruhi dalam urusan pelantikan badan kehakiman.

Bekas peguam itu juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan dapatan dan syor Jawatankuasa Tatatertib yang menggantung beliau daripada berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara selama setahun dan didenda RM20,000. – MalaysiaGazette