Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jumaat ini bermula peralihan pandemik kepada endemik, yang menyaksikan pintu sempadan antarabangsa dibuka, selain perjalanan merentas negeri tanpa sekatan.

Justeru, rakyat dinasihatkan mematuhi MyCHAMPION yang menitikberatkan pendidikan secara berterusan dengan amalan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini penting kerana pada masa sama, umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadan dan seterusnya meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Perkara ini memerlukan komitmen MyCHAMPION dalam memastikan rakyat dididik secara berterusan dengan amalan norma baharu dan mematuhi SOP serta memberikan peringatan kepada anggota komuniti untuk mengamalkan TRIIS.

“TRIIS ialah ujian pengesanan kendiri sekiranya bergejala, melaporkan keputusan ujian pengesanan kendiri sama ada positif, negatif atau tidak sah dalam aplikasi MySejahtera, melakukan pengasingan diri jika positif Covid-19 dan patuh Perintah Pengawasan.

“Rakyat juga digalakkan melakukan pemerhatian di rumah serta tata cara isolasi kendiri, memaklumkan kepada kontak rapat dan laporkan kepada pihak berkuasa melalui MySejahtera dan mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan atau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berhampiran jika gejala bertambah teruk,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk melaksanakan Kempen Champion Against Covid-19 atau Juara Menentang Covid-19 menjelang April ini.

Kempen itu, katanya, satu pendekatan baharu untuk memberi peluang kepada MyCHAMPION untuk mendidik individu, ahli keluarga, rakan dan komuniti di jaringan sosial secara dalam talian dengan menyebarkan maklumat kesihatan yang sangat relevan pada fasa peralihan ke endemik.

Selain itu, kata Dr. Noor Hisham, KKM telah memperkenalkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 11 November lalu.

“ANMS bertujuan menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera dengan menumpukan kepada empat keberhasilan tingkah laku iaitu pembudayaan hidup sihat, amalan norma baharu sebagai kebiasaan hidup dan pematuhan SOP, penjagaan kebersihan persekitaran dan pengambilan vaksin serta dos penggalak.

“Salah satu komponen penting di bawah ANMS adalah program pembangunan keupayaan MyCHAMPION yang akan diperkukuhkan bagi memastikan kesihatan Keluarga Malaysia dapat dipertingkatkan terutamanya dalam usaha pendidikan dan promosi kesejahteraan kesihatan.

“Ini adalah evolusi kepada program pemerkasaan masyarakat yang KKM jalan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette